الأخبار

الأخبار

5 UA dalam kelompok 50 Universiti terbaik Asia

5 UA dalam kelompok 50 Universiti terbaik Asia

التاريخ : 25 October 2018

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) memperkukuhkan kedudukannya dalam Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings (QS-AUR 2019) apabila melonjak empat anak tangga daripada kedudukan ke-23 tahun lalu kepada ke-19, tahun ini.

Selain UM, empat universiti penyelidikan (RU) lain turut berada dalam kelompok 50 universiti terbaik Asia, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) pada kedudukan ke-34, Universiti Kebangsaan Malaysia (41), Universiti Sains Malaysia (43) dan Universiti Teknologi Malaysia (47).

Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim, berkata kejayaan UM berada dalam kelompok empat peratus universiti terbaik Asia itu membuktikan pengiktirafan serantau terhadap kualiti pengajaran, penyelidikan dan kerjasama antarabangsa.

“Pencapaian membanggakan ini membuktikan inisiatif berterusan universiti dalam meningkatkan tahap penyelidikan, program pengantarabangsaan dan juga jalinan industri sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil.

“Kejayaan ini membakar semangat kami untuk meneruskan fokus bagi fasa berikutnya dalam memperkukuhkan asas akademik, memperbanyakkan kerjasama penyelidikan antarabangsa dan jalinan akademik-industri,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

QS-AUR 2019 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan sebanyak 24 universiti Malaysia berada dalam kelompok 500 universiti terbaik Asia, sekali gus membuktikan penawaran sesi pengajaran dan pembelajaran yang bermutu, bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini.

Beberapa universiti awam (UA) turut menunjukkan pencapaian membanggakan antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berada pada kedudukan ke-128, Universiti Teknologi MARA (137) dan Universiti Islam Antarabangsa (143), Universiti Malaysia Sabah (206), Universiti Terengganu Malaysia (291-300), Universiti Pendidikan Sultan Idris (401-450) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (451-500).

Sementara itu, tiga universiti teknikal Malaysia iaitu Universiti Malaysia Pahang turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila berada pada kedudukan ke-188, Universiti Malaysia Perlis (201) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (301-350).

Beberapa universiti swasta turut membuktikan keunggulan apabila tersenarai terutama Universiti Teknologi Petronas yang berada dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia iaitu pada kedudukan ke-99, diikuti Universiti Taylor’s (135), Universiti Multimedia (175), Universiti Sunway (232), Universiti Tenaga Nasional (234), Management and Science University (271-280) dan dua universiti berada dalam kelompok 351 hingga 400 iaitu Limkokwing University serta Universiti Kuala Lumpur..


Read more; https://www.bharian.com.my/ber...

Source BH,by Fadzlena Jafar