الأخبار

الأخبار

Pelajar cemerlang STPM 2018 nak masuk UIAM dalam jurusan undang-undang , bercita-cita menjadi peguam.”

Pelajar cemerlang STPM 2018 nak masuk UIAM dalam jurusan undang-undang , bercita-cita menjadi peguam.”

التاريخ : 13 March 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

HULU BESUT - Kesempitan hidup keluarga menjadi pembakar semangat kepada Saiful Azri Rosdi, 20, untuk memperoleh keputusan PNGK 4.0 (4A) dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan, semalam.

  Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra itu merupakan salah seorang daripada tiga pelajar sekolah berkenaan yang memperoleh keputusan sama.

      Anak kepada pasangan petani dan tukang jahit ini berkata, dia mengusahakan gerai menjual burger pada waktu malam di hadapan rumahnya di Pasir Akar untuk mencari pendapatan kerana pendapatan ibu bapanya tidak seberapa sedangkan tanggungan besar termasuk membiayai empat adiknya.

  Menurutnya, ketika cuti sekolah pula, dia bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai pakaian di Jertih supaya tidak membebankan keluarga menanggung persekolahannya.

      “Pendapatan ibu sebagai tukang jahit di Jertih dan ayah, petani adalah tidak seberapa dan dengan melakukan kerja sampingan itu, dapatlah saya bantu keluarga,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

  Dia ditemui selepas menerima keputusan peperiksaan itu di SMK Putra yang disampaikan pengetua sekolah, Mohammad Idris di sekolah berkenaan.

  Hadir sama Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Putra, Fakaru Azhar Yunus dan ibu bapa Saiful Azri, Rosdi Yunus, 50, dan Yusmaimi Yusof, 44.

      Saiful Azri menjadikan kesusahan itu sebagai dorongan untuknya belajar bersungguh-sungguh agar memperoleh keputusan cemerlang dan menjadi contoh kepada adik-adiknya seterusnya mengubah nasib keluarganya satu hari nanti.

  Menurutnya, dia amat bangga dengan keputusan yang diterima kerana ia adalah peperiksaan paling cemerlang dicapainya sepanjang persekolahan selama ini.

Saiful Azri (duduk; kiri, depan) bergambar bersama rakan dan guru tingkatan enam SMK Putra.

  “Faktor kejayaan saya adalah pastikan sering dekat dengan tuhan, ulang kaji dan memberi perhatian ketika guru mengajar selain banyak bertanya.

    “Kalau boleh saya mahu masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan undang-undang kerana saya bercita-cita menjadi peguam,” katanya yang banyak mengulang kaji pelajaran pada awal pagi atau malam.

  Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada bapanya, guru-guru, saudara dan kawan-kawannya yang selalu memberi dorongannya kepadanya.

  Sementara itu, dua lagi yang memperoleh PNGK 4.0 dari sekolah sama ialah Noorhanim Sofie Mahasan dan Farah Nur Sophia Aminuddin manakala tiga yang lain iaitu Mohamad Zulkifli Shamsudin, Puti Nor Alia Mohamad Zani, Nur Murni Izzati Zukiman memperoleh semua A dengan PNGK kurang 4.0 dalam peperiksaan tersebut.

  Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, seramai 10 calon STPM dari enam sekolah daerah ini memperoleh PNGK 4.0.

Source ;https://kampusuols.com/article...