الأخبار

الأخبار

Pensyarah UIAM tersenarai 300 wanita paling berpengaruh di dunia

Pensyarah UIAM tersenarai 300 wanita paling berpengaruh di dunia

التاريخ : 24 June 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

KUALA LUMPUR: Sembilan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tersenarai dalam kalangan 300 wanita paling berpengaruh di dunia dalam bidang kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM, hari ini, senarai itu diumumkan pada majlis The 2nd WOMANi Gala Dinner and Awards di JW Marriott Marquis Hotel, Dubai, baru-baru ini.

Cambridge International Finance Advisory ialah organisasi perkhidmatan kewangan yang berpusat di United Kingdom (UK) iaitu menyediakan khidmat nasihat strategik kepada badan kerajaan, institusi kewangan dan organisasi dua hala dalam memajukan pasaran kewangan.

Sembilan pensyarah terbabit terdiri daripada tiga profesor, empat pensyarah akademik dan dua felo akademik.

Mereka ialah Prof Engku Rabiah Adawiah, Prof Rusni Hassan dan Prof Madya Dr Salina Kassim dari Institut Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam (IIBF), manakala Prof Madya Dr Irwani Abdullah serta Prof Dr Maliah Sulaiman masing-masing dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS) UIAM.

Turut tersenarai ialah Prof Madya Dr Uzaimah Ibrahim dan Prof Madya Dr Akhtarzaite Abdul Aziz masing-masing dari Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) serta Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS).

Dua lagi ialah felo akademik dari IIBF iaitu Datin Zariah Abu Samah dan Zarinah Mohd Yusoff.

Sembilan pensyarah terbabit berjaya membuktikan kepada dunia bahawa usaha dan dedikasi mereka mempelopori bidang kewangan Islam serta bidang masing-masing membolehkan mereka tersenarai sebagai wanita paling berpengaruh.

Pencapaian itu juga sejajar usaha melonjakkan UIAM ke peringkat global dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Untuk rekod, UIAM mendahului bidang Perbankan dan Kewangan Islam pada peringkat antarabangsa, tahun ini.

Pencapaian itu turut diakui melalui pangkalan data daripada SCOPUS iaitu Pangkalan Data Bibliografi yang mengumpulkan jurnal artikel akademik, abstrak dan penyelidikan antarabangsa.

Menurut SCOPUS, artikel dan kajian dalam perbankan serta kewangan Islam yang tertinggi ialah daripada UIAM dengan menyumbangkan 11 peratus dalam penerbitan.


Sumber; https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/06/577497/pensyarah-uiam-tersenarai-300-wanita-paling-berpengaruh?fbclid=IwAR34c-8u9x0dVbLIYZOxPy6wldbM9Gm5bg9CZbBxty7K-pzvMz2ETUIA_YU