الأخبار

الأخبار

Persatuan Pengguna Pulau Pinang bakal terima Anugerah UIAM, anugerah pertama kali buat organisasi

Persatuan Pengguna Pulau Pinang bakal terima Anugerah UIAM, anugerah pertama kali buat organisasi

التاريخ : 07 November 2018

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

ROSLAN ROSLY, UIAM
7 November 2018

GOMBAK - Organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP) akan menerima Anugerah Merit Ibnu Khaldun 2018 (2018
Ibnu Khaldun Merit Award) pada sidang satu hari Sabtu bersempena dengan
Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-34
yang bakal berlangsung dari 10 hingga 13 November di UIAM Kampus Gombak.

Anugerah tersebut akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia yang juga Presiden UIAM, YB Dr. Maszlee Malik.

UIAM memperkenalkan anugerah khas ini adalah untuk mengiktiraf sumbangan badan-badan amal dan bukan kerajaan terhadap perkembangan serta transformasi ilmu. Anugerah ini akan disampaikan kepada sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, ini adalah kali pertama sebuah universiti memberi anugerah kepada organisasi dan bukannya kepada individu.

“Buat pertama kalinya UIAM menganugerahkan kepada organisasi yang mana universiti lain hanya tertumpu kepada sumbangan individu saja. Apa yang diharapkan, ia akan membuka ruang yang lebih luas untuk universiti menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat,” katanya.

Anugerah yang diberikan ini adalah sebagai penghargaan kepada sumbangan CAP untuk masyarakat Malaysia dengan menjalankan kempen kesedaran kepenggunaan dalam pelbagai aspek seperti kualiti kehidupan termasuk makanan, barangan, serta produk kewangan dan hak asasi untuk persekitaran yang selamat dan bersih.

Sejak penubuhannya pada 1970, CAP telah banyak membantu pengguna-pengguna dalam menyelesaikan permasalahan yang diadukan. Pengerusi CAP, Haji SM Mohamed Idris akan hadir dan menerima anugerah tersebut bagi pihak organisasi tersebut.

Pengenalan anugerah baru ini adalah inovasi yang diperkenalkan oleh Rektor UIAM yang baru dilantik pada Julai lalu. Tan Sri Dzulkifli ingin membawa perubahan dalam UIAM supaya tidak menjadi sebuah menara gading yang disegani tetapi tidak mampu berinteraksi dengan masyarakat.

Beliau mahu mewujudkan perhubungan bukan sahaja dengan industri dan insitusi pendidikan tinggi yang lain tetapi juga dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). NGO mempunyai pengalaman dalam membantu masyarakat dan mampu mewujudkan kesedaran tentang hak-hak rakyat terutamanya untuk hidup dalam persekitran yang lestari.

Pelajar dan pensyarah perlu memainkan peranan penting dalam mengkaji innovasi yang mampu membantu pembangunan sosio-ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Peranan NGO dalam menyediakan maklumat berkaitan kehendak dan keperluan masyarakat amat penting bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga untuk para pensyarah yang boleh menggunakan maklumat yang dikumpulkan oleh NGO dari lapangan yng boleh digunakan untuk menyelesaikan permasalahan dalam masyarakat untuk membina negara yang maju," ujarnya lagi.

Untuk majlis konvokesyen UIAM pada tahun ini, seramai 5,413 graduan akan diraikan yang terdiri daripada 4,449 orang graduan akan menerima skrol di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seramai 964 orang graduan di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang pengajian dari 16 Kulliyyah (Fakulti).