الأخبار

الأخبار

UIAM johan pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas(Setik)2018

UIAM johan pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas(Setik)2018

التاريخ : 23 October 2018

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

PERTANDINGAN Debat Terbuka llmu Khas (Detik) 2018 bukan sahaja terus unggul dan berada pada kelas tersendiri bagi membahaskan isu-isu pendidikan negara, malah penganjurannya selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Sulaiman Wak berkata, sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, penggunaan bahasa Melayu dalam pertandingan anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas adalah sesuatu yang positif.

"Lebih menarik lagi, usaha pendaulatan bahasa Melayu yang menjadi teras bahasa kebangsaan melalui program debat pada kali ini, digembleng bersama-sama dengan beberapa pihak yang memainkan peranan penting dalam masyarakat, sekali gus 'memasyarakatkan' bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

"Saya berkeyakinan bahawa kedudukan bahasa Melayu tidak akan terancam dalam era Revolusi Industri 4.0 yang sedang hangat diperkata, selagi penutur bahasa Melayu berusaha melestari dan mendaulatkannya agar terus relevan dan kekal sebagai bahasa untuk bersosial mahupun dalam bidang ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Detik 2018 sempena Hari Alam Sekitar Negara di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali.

Dalam pertandingan berprestij itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A diangkat sebagai johan, manakala pasukan yang kali pertama menyertai Detik, IPG Kampus Bahasa Melayu menyandang naib johan, diikuti Universiti Teknologi Petronas B (ketiga) dan IPG Kampus Pulau Pinang (keempat).

Sebanyak 64 pasukan pendebat muda yang berusia 18 hingga 21 tahun dari institusi pendidikan tinggi seluruh negara menyertai Detik kali kelima ini yang diadili 55 orang juri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman dalam arena perdebatan.

Detik 2018 telah menghimpunkan peranan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Majlis Debat Universiti Malaysia, dan Aktivis Debat IPG Malaysia.

Sebelum itu, Dr. Mohd. Suhaimi dalam ucapan alu-aluannya meletakkan harapan agar pertandingan ini dapat menjadi jambatan ilmu terhadap isu-isu alam sekitar kerana kesemua pendebat mewakili 'suara orang muda' telah berhujah dan menyatakan pendapat, untuk membuktikan fakta tentang isu dan kelestarian alam sekitar.

"Pada masa akan datang, pihak IPG Kampus Ilmu Khas akan terus menggerakkan penyertaan masyarakat sebagai 'komuniti pendidikan' untuk merealisasikan hasrat pendidikan negara dan kepentingan sejagat melalui perkongsian pintar dan peranan rakan kolaboratif," ujarnya lagi.