الأخبار

الأخبار

UIAM lancar kempen 'IIUM Zero Single-Use Plastic' demi kekalkan kelestarian hijau persekitaran kampus

UIAM lancar kempen 'IIUM Zero Single-Use Plastic' demi kekalkan kelestarian hijau persekitaran kampus

التاريخ : 16 February 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

Oleh Roslan Rusly

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melancarkan kempen inisiatif IIUM Zero Single-Use Plastic iaitu kempen untuk mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus UIAM.

Jabatan Pembangunan UIAM memperkenalkan kempen 4R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle) yang dirasmikan oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Dengan menyahut saranan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) yang menyediakan beberapa inisiatif untuk menangani isu ini, UIAM telah pun mengambil inisiatif untuk mengatasai masalah penggunaan plastik ini.

Untuk itu, kempen yang dirasmikan ini bertujuan untuk menolak dan mengurangkan pengunaan plastik untuk persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

Kempen ini juga bertujuan untuk mengurangkan dan menghapuskan pergantungan penggunaan plastik termasuk penggunaan penyedut minuman (straw) dan pembungkus makanan.

Kanak-kanak dari Pusat Asuhan IIUM Educare turut hadir menyokong kempen yang dilancarkan.

Menurut Rektor UIAM, ketika ditemui berkata, ini ialah salah satu inisiatif Universiti untuk bersama menjalankan kempen dan advokasi kepada warga kampus selaras dengan slogan Universiti untuk mengekalkan kelestarian persekitaran kampus UIAM.

“Di UIAM ini kita menggunakan konsep 4R iaitu, Reducing, Reusing, Recycling dan juga termasuklah Refusing.

“Apabila kita menambah nilai pengurangan penggunaan ini, ia adalah kunci bagaimana kita tidak menggunakan plastik dan makin lama penggunaan tersebut akan menurun dan menjadi kampus ini kampus sifar plastik," tambahnya.
Majlis Perwakilan Pelajar UIAM turut menyokong kempen yang dianjurkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bahan Buangan Plastik UIAM, Dr. Azlin Suhaida Azmi menjelaskan bahawa Malaysia menduduki carta yang ke-8 pengurusan bahan plastik yang kurang memuaskan di dunia dan kerana itu kempen ini dilaksanakan.


“Menurut kajian daripada Science Magazine yang dilakukan pada tahun 2015, Malaysia berada pada kedudukan ke-8 dunia dalam pengurusan bahan sisa plastik yang kurang memuaskan di dunia.”

“Oleh itu, sepanjang kempen ini kita akan menyedarkan warga kampus untuk mengurangkan penggunaan bahan yang berasaskan plastik seperti penyedut minuman, alatan makanan seperti sudu dan garfu plastik," ujarnya.
Pihak pengurusan Universiti turut sama menyokong kempen yang dilancarkan baru-baru ini.

Kini, seluruh kawasan kampus sudah pun dilengkapi dengan tong-tong sampah kitar semula dan di UIAM juga kini mempunyai pusat pemprosesan sendiri sisa makanan yang hasilnya boleh dijadikan baja.


Sebelum ini juga, UIAM telah pun menganjurkan beberapa program untuk menjaga kelestarian kampus antaranya ialah program Earth Day, Save Our River, Brist Walk dan program World CleanUp Day.

Hadir sama pada majlis pra-pelancaran tersebut ialah Ahli JawatanKuasa Universiti (UMC), Group CEO IIUM Holding, Dato’ Hj. Naharudin Haji Ali, wakil dari jabatan pembangunan Universiti, Pengusaha Kafeteria, Pusat Asuhan Kanak-kanak UIAM Educare dan para pelajar.



Source; https://kampusuols.com/article...