News
Dr. Maszlee Malik sah jawatan Presiden UIAM
Date : 07 January 2019
Reported by : Roslan Bin Rusly
Category : News
Tweet This
SIMPANG RENGGAM: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengesahkan beliau sudah meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak menandatangani surat peletakan jawatannya.
Bagaimanapun Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tidak menyatakan tarikh khusus bila beliau meletak jawatan termasuk menghantar surat peletakan jawatannya ketika ditanya media.
“Ya, saya sudah letak jawatan bila menandatangani surat (surat peletakan jawatan),” katanya selepas menyerahkan sumbangan kerusi di Klinik Kesihatan Simpang Renggam, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pakar Kesihatan dan Perubatan Keluarga yang juga Ketua Klinik Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.
September lalu, Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.
Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai tahun lalu.
Namun, pelantikan berkenaan mencetuskan kontroversi apabila mendapat bantahan dan kritikan ramai yang mempersoalkan kelayakan beliau yang kini memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.
Awal November lalu, Maszlee bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM.
Ditanya mengenai desas-desus pelantikan bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai presiden baharu UIAM menggantikannya, Maszlee berkata, ia terpulang kepada universiti berkenaan memutuskannya.
“Kita tunggu pengumuman rasmi UIAM bagi menamakan presiden baharunya, ” katanya.
Source Berita Harian