News
Food Bank pastikan siswa tak kelaparan
Date : 04 February 2019
Reported by : Roslan Bin Rusly
Category : News
Tweet This
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik komitmen Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi meluaskan inisiatif Food Bank Malaysia di universiti tempatan. Ini lebih bermakna dengan kesediaan kementerian mempelawa persatuan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa bagi samasama menjayakan inisiatif ini.
Sewajarnya pertubuhan pelajar dan persatuan mahasiswa harus bersama-sama menjayakan inisiatif ini bagi memastikan soal makan minum mahasiswa terjamin.
Sebagai mahasiswa, penulis memahami dan mengetahui sejumlah besar mahasiswa menghadapi kekangan kewangan hingga menyebabkan mereka perlu mengikat perut dan tidak dapat makan secukupnya.
Kita pasti mengingati kisah mahasiswa kelaparan yang pernah tersebar sebelum ini. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berulang dan terus menjadi igauan dalam kalangan mahasiswa hingga boleh menyebabkan pelajaran mereka terganggu.
Sebagai makluman, pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh sendiri oleh mahasiswa bagi membendung isu ini. PKPIM tidak terkecuali turut ke depan dalam isu ini dengan kerjasama HEWI, iaitu sayap mahasiswi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan HELWA, sayap wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
PKPIM dan ABIM menggerakkan program Dapur HELWA yang dilaksanakan di beberapa institusi pengajian tinggi bagi menyediakan makanan percuma untuk mahasiswa.
Tidak terkecuali, program Mahabbah Food Coupon yang dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak dan beberapa lagi program yang hampir sama. Kesempitan hidup dan kekangan ekonomi yang membelenggu negara ketika ini tidak harus dijadikan alasan kerajaan untuk peka dalam isu ini.
Justeru, setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan atas komitmen pimpinan baharu negara terutama Saifuddin yang menzahirkan komitmen ini bagi memastikan bebanan mahasiswa dapat dikurangkan.
Ahmad Farhan Rosli,
Penolong Setiausaha Agong 1,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Source;Berita Harian