News
Juara qari berlatih al-Quran sambil memandu
Date : 29 January 2019
Reported by : Roslan Bin Rusly
Category : News
Tweet This
SHAH ALAM - Mengamalkan latihan membaca al-Quran pada waktu pagi sambil memandu dari rumah ke tempat kerja selama setengah jam antara kunci kejayaan johan qari tilawah, Abdul Khair Jalil.
Beliau yang dinobatkan sebagai juara tahun lalu juga memaklumkan cuba meniru lenggok dan sebutan ayat suci yang didengar selain turut membuka kelas tarannum bersama masyarakat luar.
“Untuk petua menjaga suara pula, saya cuba elakkan makan buah jenis bergetah dan minuman berais,” katanya yang juga berazam untuk muncul juara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini.
Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, pakej mengerjakan umrah, sepersalinan pakaian, sijil dan piala pusingan.
Terdahulu, Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Selangor 1440H/2019M disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Masjid Negeri, malam tadi.
Majlis itu turut menyaksikan Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan menduduki tempat kedua, sementara Muhammad Al Nawawi Borhan yang mewakili daerah Kuala Langat di tempat ketiga.
Manakala, bagi kategori tilawah (qariah), tempat kedua disandang Sofizah Mousin yang mewakili daerah Petaling sementara wakil dari Hulu Selangor, Nor Ain Najihah Abdul Hakam di tempat ketiga.
OLEH SHEEDA FATHIL