News

News

Pelajar UIAM Juara Musabaqah Iqra Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia

Pelajar UIAM Juara Musabaqah Iqra Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia

Date : 07 March 2018

Reported by : dsh

Category : News


Share

Oleh M.Z Awe

GOMBAK, 7 Mac (Udabayas) – Pelajar Tahun Satu Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IKHS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Syazani Jemy, 20, dinobatkan sebagai johan Pertandingan Musabaqah Iqra Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia, di sini hari ini.

Pelajar yang berasal dari Johor itu membacakan Surah Al Baqarah ayat 285 hingga 286, menewaskan empat peserta lain di pusingan akhir dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 serta pakej mengerjakan haji.

Saya membahagikan masa antara pelajaran dan menghafal Al-Quran, sekiranya tiada kelas saya akan pastikan Al-Quran dibaca samada di bilik atau di surau – Muhammad Syazani Jemy.

Syazani yang merupakan anak sulung dalam keluarganya ceria dan teruja dengan kemenangan tersebut kerana berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji yang sangat diimpikan selama ini.

“Saya membahagikan masa antara pelajaran dan menghafal Al-Quran, sekiranya tiada kelas saya akan pastikan Al-Quran dibaca sama ada di bilik atau di surau,” ujarnya.

Muhammad Syazani (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Datuk Dr Fathul Bari dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud H.S Qattan setelah diumumkan sebagai johan Pertandingan Musabaqah Iqra Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia yang diadakan di UIAM.

Pertandingan yang dianjurkan oleh UIAM dan Institut Pendidikan Al-Quran (ITQAN) dengan kerjasama Kedutaan Arab Saudi ini berlangsung selama empat hari pada 20 hingga 23 Februari lalu dan disertai seramai 307 peserta yang terdiri daripada 12 universiti awam serta 25 universiti swasta.

Hanya 48 peserta terpilih ke pusingan kelayakan dan daripada jumlah itu, seramai 20 peserta yang akan dipilih sebagai pemenang dikehendaki membaca beberapa ayat Al-Quran mengikut kategori iaitu 1 juzu’, 5 juzu’, 10 juzu’ dan 30 juzu’.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata penganjuran program ini adalah wajar bagi meneruskan usaha kerajaan mendekatkan masyarakat khasnya anak-anak muda kepada Al-Quran.

“Perkara utama dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan harapan melahirkan generasi Al-Quran, bukan sahaja dapat dihafal tetapi disusuli dengan penghayatan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Tambah Fathul, dia sangat gembira kerana ramai golongan belia yang mempunyai latar belakang pelbagai universiti dan pengajian menyertai pertandingan tersebut dan merasakan pertandingan ini perlu diteruskan untuk melahirkan generasi Al-Quran pada masa hadapan.

Turut hadir, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud H.S Qattan; Timbalan Rektor UIAM (Pengantarabangsaan, Jaringan Industri dan Hubungan Komuniti), Prof Dr Abdel Aziz Berghout dan Pengerusi Institut Pendidikan Al-Quran (ITQAN), Dr Hassan Firdaus Mohd Zaki.


https://udabayas.com/pelajar-u...