News

News

UIAM Jaga Kebajikan Pelajar Sepanjang Tempoh PKP

UIAM Jaga Kebajikan Pelajar Sepanjang Tempoh PKP

Date : 24 March 2020

Reported by : Roslan Bin Rusly

Category : News


Share


Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil inisiatif menubuhkan bilik gerakan operasi dan sukarelawan di samping membantu menyalurkan makanan untuk pelajarnya sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Perhubungan Media, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM Roslan Rusly, berkata ketika ini pelajar-pelajar UIAM mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelajar tempatan dan antarabangsa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan MKN dan KPT untuk sentiasa berada di dalam kampus sepanjang tempoh PKP.

“UIAM telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif membantu menyalurkan bantuan makanan dan barang keperluan asas para pelajar yang berada di kampus Gombak, Kuantan, Gambang, Pagoh dan Kuala Lumpur.

“Ia untuk memastikan supaya pelajar-pelajar dijaga dengan baik selain mengurangkan pergerakan serta menjaga keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salah seorang pelajar antarabangsa UIAM mengambil makanan yang diagihkan sukarelawan di salah sebuah kampus universiti tersebut.Salah seorang pelajar antarabangsa UIAM mengambil makanan yang diagihkan sukarelawan di salah sebuah kampus universiti tersebut.

-

Menurutnya, seramai 2,071 pelajar tempatan dan 1,233 pelajar antarabangsa kini menginap di lima kampus di seluruh negara berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

“Suasana di setiap kampus UIAM tenang dan keadaan terkawal, malah banyak bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh pihak MKN, KPT, kementerian-kementerian lain, wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia dan orang perseorangan.

"Selain itu, perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan kafeteria (bungkus sahaja) beroperasi seperti biasa di samping talian hotline setiap kampus turut disediakan,” katanya.

Roslan turut memaklumkan bilik gerakan operasi diwujudkan bagi membantu serta dijadikan pusat pengumpulan barangan bantuan (barangan kering) akan diagihkan para sukarelawan ke setiap mahallah (kampus kediaman) secara berperingkat.

“Ia digerakkan Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) dengan kerjasama Kesatuan Pelajar UIAM (IIUMSU), semua agihan barangan keperluan kering seperti biskut, air, barangan keperluan wanita dan lain-lain akan dikumpulkan pada satu tempat.

“Manakala bantuan-bantuan makanan yang sudah dimasak akan tempatkan di kafe untuk diagihkan kepada setiap pelajar yang ada di mahallah.

“Pihak pengurusan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar di setiap kampus menjadi keutamaan, ibu bapa dinasihatkan agar tidak bimbang keselamatan anak-anak mereka sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

-SH

Source : https://malaysiaaktif.my/72771