News

News

Vape dan shisha turut dicadang supaya dilarang di semua premis makanan

Vape dan shisha turut dicadang supaya dilarang di semua premis makanan

Date : 22 November 2018

Reported by : Roslan Bin Rusly

Category : News


Share

Kuala Lumpur - -Rokok elektronik (vape) dan shisha turut perlu dimasukkan di dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019.

Prinsipal Akademi Farmasi Malaysia yang juga Dekan, Centre for Foundation Studies,  UIAM. Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dalam mengutarakan cadangannya berkata selain untuk menjaga kesihatan awam, penggunaan rokok elektronik sememangnya sudah dimasukkan sebagai takrifan merokok dalam pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

"Selain itu, kita juga tahu hampir kesemua perisa vape yang digunakan pengguna alatan itu mengandungi nikotin, iaitu bahan kawalan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 di mana ia sepatutnya hanya boleh dijual pengamal perubatan berdaftar
seperti ahli farmasi ataupun doktor.

"Wap yang dihasilkan daripada aktiviti 'vaping' tidak kira sama ada daripada perisa yang mengandungi nikotin atau tidak, boleh menimbulkan kesan kepada kesihatan dan ketidakselesaan kepada orang-ramai, " katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi shisha pula, ia sememangnya mengandungi bahan daripada tembakau yang termasuk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dan wajar turut dilarang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata vape dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan berkenaan tetapi kementeriannya masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan melibatkan produk-produk itu.

Menurut Dr Mohamad Haniki cadangan mengadakan kawasan khas untuk pengguna produk berkaitan tembakau di premis makanan adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan, namun pilihan yang lebih baik ialah mereka berhenti dari mengambilnya dengan bantuan ubat-ubatan yang diluluskan Kementerian Kesihatan
Malaysia.

"Contohnya mereka boleh mengunyah gula-gula nikotin. Langkah terbaik ialah berhenti merokok atau menggunakan sebarang produk tembakau lain agar risiko penyakit dan kematian dapat dikurangkan dengan signifikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar semua produk berkaitan tembakau tidak kira rokok, vape mahupun shisha hanya dijual di premis khas dan berlesen bagi mengawal penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

"Pada ketika ini banyak terdapat produk tembakau yang tidak berdaftar termasuk rokok dan perisa vape. Jika kita menetapkan penjualannya di premis berlesen yang dijaga
pengamal perubatan berdaftar, kita boleh mengawal kerana kita tahu siapa
yang menjualnya," katanya.

Kajian terkini mendapati wap rokok elektronik mengandungi pelbagai bahan kimia dan logam berat toksik, termasuk kromium (Cr), nikel (Ni) plumbum (Pb), manganese (Mn) dan zink (Zn). Selain itu, pelbagai bahan kimia berbahaya lain turut dikenalpasti, terutamanya metanol yang menyebabkan iritasi mata dan kulit kepada orang lain.

Maka wajarlah penggunaan vape turut diharamkan di kedai makan dan kawasan lain yang dikunjungi orang ramai.

-- BERNAMA

Source Astro Awani

Read more;http://www.astroawani.com/beri...