Berita

Berita

Anwar lancar Tabung Pelajar Antarabangsa Abusulayman UIAM

Anwar lancar Tabung Pelajar Antarabangsa Abusulayman UIAM

Tarikh : 25 April 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini melancarkan Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman yang bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar antarabangsa di universiti itu.

Timbalan Rektor (Akademik dan Jaringan Industri) UIAM, Prof Dr Isarji Sarudin, berkata dana permulaan bagi tabung itu berjumlah AS$250,000 disumbangkan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Hamid A Abu Sulayman yang merupakan bekas Rektor UIAM kedua.

“Kebanyakan pelajar antarabangsa ini tidak ada pembiayaan, mereka datang dengan duit sendiri. Jadi, ada antara mereka pada penghujung semester misalnya tidak ada duit untuk bayar yuran dan tabung ini boleh bantu mereka menamatkan pengajian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran tabung berkenaan di UIAM Kampus Gombak di sini.

Pelancaran tabung itu disempurnakan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga bekas Presiden UIAM kedua, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pada masa ini terdapat lebih 7,000 pelajar luar negara yang menyambung pengajian di UIAM.

Isarji berkata pelajar yang layak akan diberi elaun bulanan berjumlah antara RM500 hingga RM1,000 berdasarkan peringkat pendidikan masing-masing.

Selain itu katanya, tabung berkenaan juga akan digunakan untuk membantu pelajar dari negara dalam zon konflik untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata menjadi tanggungjawab semua untuk membantu pelajar yang memerlukan bukan hanya pelajar antarabangsa, malah pelajar negara ini.

Katanya, laporan baru-baru ini berhubung pelajar institusi pengajian tinggi negara yang mengikat perut akibat kekangan kewangan perlu diberikan perhatian serius supaya ia tidak berulang.

“Amat baik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberikan segera RM3 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk melaksanakan Foodbank Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Source; https://www.bharian.com.my/ber...