Berita

Berita

Buku Rahmatan Lil Alamin dalam pelbagai bahasa

Buku Rahmatan Lil Alamin dalam pelbagai bahasa

Tarikh : 20 September 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menerbitkan buku yang menerangkan konsep Rahmatan Lil Alamin bertajuk ‘Rahmatan Lil Alamin dalam Konteks Masyarakat Kontemporari’ dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee berkata, ia merupakan satu usaha yang digerakkan untuk memberi kefahaman semua pihak tentang makna dan ciri sebenar konsep tersebut berikutan wujud pelbagai salah faham dan tafsiran yang menyimpang tentangnya.

“Kita akan terjemahkan buku ini secara berperingkat, satu bahasa mungkin ambil masa hingga tiga dan empat bulan dan saya jangka suku pertama tahun depan kita akan lancarkan ketiga-tiga bahasa ini.

“Untuk peringkat utama ini kita akan terbitkan 1,000 naskah untuk diedarkan kepada universiti-universiti awam sebagai bahan rujukan. Kita cuba juga setakat yang boleh untuk hantarkan pada kementerian-kementerian.

“Selain itu, ada juga dalam perancangan untuk edarkan ke peringkat antarabangsa apabila terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin siap tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku Rahmatan Lil Alamin dalam Konteks Masyarakat Kontemporari di sini hari ini.

Buku setebal 256 muka surat yang menerangkan secara menyeluruh konsep Rahmatan Lil Alamin qitu mempunyai 22 bab dan 20 penulis. - UTUSAN ONLINE