Berita

Berita

JOM Masuk UIAM 2019 berlangsung hari ini... Ayuh Meriahkan!!

JOM Masuk UIAM 2019 berlangsung hari ini... Ayuh Meriahkan!!

Tarikh : 23 March 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menganjurkan Karnival Jom Masuk UIA 2019 yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 23 Mac 2019 bertempat di Dewan Utama, Pusat kebudayaan UIAM (ICC) UIAM Kampus Gombak.

Program Jom Masuk UIA 2019 ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Akademik dan Kemasukan Pelajar (AMAD) UIAM yang bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

Objektif penganjuran karnival ini ialah untuk menjemput para lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 dan lepasan diploma serta lepasan Ijazah untuk melihat peluang kemasukan ke UIAM.

Karnival ini juga merupakan hari terbuka untuk UIAM bagi mengalu-alukan kunjungan komuniti setempat di sekitar kampus Gombak tanpa mengira peringkat umur yang ingin mengetahui apa yang ada di dalam UIA kampus Gombak ini sekali gus menanam minat anak-anak dan orang ramai untuk meneruskan pelajaran di sini.

Aktiviti menarik

Menurut Pengarah AMAD, Prof. Madya Dr. Gairuzazmi Mat Ghani berkata, program Jom Masuk UIA ini adalah salah satu inisiatif yang dilakukan oleh UIA untuk membantu para lepasan SPM dan setaraf.

"Berikutan dengan pengumuman keputusan peperiksaan SPM baru-baru ini, kami di UIAM membuka pintu kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian mereka di sini untuk membantu dan memberikan panduan kepada mereka."

Para pegawai dan petugas akan membantu para pengunjung untuk memberikan panduan melanjutkan pengajian di UIAM.

“Pihak AMAD dan Pusat Asasi UIAM bersedia menerima kunjungan para pengunjung untuk menjawab segala persoalan dan permasalahan berkaitan dengan kemasukan ke UIAM," ujarnya.

Ibu bapa juga digalakkan untuk hadir bersama-sama anak-anak mereka supaya boleh mendapat maklumat yang terperinci dan tepat untuk anak mereka agar tidak tersalah untuk membuat pilihan kemasukan ke Universiti.

Jelajah Kampus 2019

Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival tersebut antaranya lawatan ke perpustakaan, Kompleks Sukan, Masjid, Galeri UIAM dan Rumah Perak serta program Jelajah Kampus yang mana bas-bas UIAM akan membawa pengunjung untuk melihat sekitar kampus UIAM Gombak.

"Semua para lepasan SPM, STPM, STAM, Diploma 2018 yang berada di sekitar kawasan Lembah Klang ini adalah dijemput hadir ke UIAM Kampus Gombak bersempena dengan Karnival Jom Masuk UIA 2019," ujarnya.