Berita

Berita

Konsert Amal 4nomena Alumni UIAM dapatkan tiket segera!

Konsert Amal 4nomena Alumni UIAM dapatkan tiket segera!

Tarikh : 19 April 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

SHAH ALAM - Karnival Geng Masjid (KGM) Event dengan kerjasama Bahagian Perhubungan Alumni, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menganjurkan Konsert Amal 4nomena Alumni UIAM di Pusat Kebudayaan UIAM, Jalan Gombak, pada 8 malam, 20 April ini. 

Timbalan Pengarah Bahagian Perhubungan Alumni UIAM, Siti Aisyah Ibrahim berkata, antara artis yang terlibat ialah Hijjaz, Inteam, UNIC, Mestica, Hafiz Hamidon, Fitri Haris dan Fadzli Aziz. 

“Hasil kutipan dariapda jualan tiket konsert tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Al-SAFA (Alumni Scholarship and Financial Assistance Fund) bagi membantu pelajar-pelajar UIAM yang memerlukan. 

    “Sempena kehadiran Ramadan ini, kami berharap dapat mengumpul dana untuk diagihkan pada awal bulan puasa tersebut. Ia mampu meringankan beban pelajar, apatah lagi pada tahun ini musim peperiksaan akan dijalankan pada bulan tersebut. 

“Pihak kami menyeru kepada semua alumni UIAM dan dermawan yang ingin membantu golongan pelajar yang memerlukan untuk menyokong dengan inisiatif pembelian tiket konsert tersebut,” katanya. 

Beliau menambah, sebenarnya kutipan derma berlangsung sepanjang masa dan terbuka kepada orang ramai yang sudi membantu. Sumbangan tersebut yang disalurkan kepada Tabung AL-SAFA akan mendapat pengecualian cukai. 

Pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey berkata, meskipun kebelakangan ini muzik nasyid mungkin dilihat tidak lagi menguasai pasaran dan bergerak agak perlahan, namun tanggapan tersebut tidak tepat kerana genre nasyid masih lagi relevan dan bersifat malar segar sehingga kini kerana ia mempunyai kelompok besar peminatnya yang tersendiri. 

    “Oleh itu, dalam usaha mengembalikan nostalgia irama nasyid sekali gus mengubat kerinduan peminat, pihak KGM Event dengan kerjasama Alumni UIAM selaku penganjur membawakan konsert penyatuan ini sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat yang merupakan tulang belakang perjuangan muzik nasyid. 

"Menyelusuri sejarah kegemilangan genre nasyid yang pernah mencetuskan satu fenomena luar biasa dalam kalangan penggemar muzik tanah air sekitar tahun 1990an, Hijjaz merupakan antara pelopor terawal yang memperjuangkan lagu-lagu berunsur dakwah, kerohanian dan ketuhanan secara komersial. 

"Susulan perkembangan positif tersebut, tertubuhnya pula anak didik nasyid baharu yang bernaung di bawah syarikat Hijjaz Records,” katanya lagi. 

Tiket yang dijual pada harga RM15 dan RM60 telah pun habis dijual. Untuk itu, rebutlah peluang untuk tiket berharga RM45 menerusi KGM. 

Manakala tiket alumni UIAM berharga RM40 boleh dibeli terus daripada Bahagian Perhubungan Alumni UIAM melalui JomPay (Biller Code 56911) dengan mengisi borang di http://goo.gl/JJDTu9 dan lampirkan slip bayaran. 

Derma ini juga boleh dilakukan dengan cara yang sama. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi Bahagian Perhubungan Alumni di 03-61966301 /6302/6303/6304 atau emelkan kepada alumni@iium.edu.my.