Berita

Berita

​ KPM sasar tubuh kesatuan pelajar di lima universiti tahun depan

​ KPM sasar tubuh kesatuan pelajar di lima universiti tahun depan

Tarikh : 24 October 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan
untuk menubuhkan kesatuan pelajar di lima universiti awam pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata setakat ini kementerian menerima kerjasama dan sokongan yang
sangat memberangsangkan daripada semua universiti awam bagi merealisasikan hasrat itu.

"Kalau boleh kami nak semua universiti sama ada awam atau swasta mempunyai kesatuan pelajar mereka,”katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Maszlee berkata penubuhan kesatuan pelajar di universiti dapat melatih pelajar untuk menjadi lebih matang dalam mengendalikan diri sendiri serta memberikan mereka lebih pengalaman dalam menguruskan kesatuan, kewangan dan aktiviti mahasiswa.

"Kami harap penubuhan kesatuan pelajar yang bermula di UIAM ini akan diikuti oleh
universiti-universiti lain selepas ini," katanya.

Maszlee berkata kesatuan pelajar UIAM merupakan 'bayi sulung' bagi kesatuan
pelajar selepas terkubur kesatuan pelajar Universiti Malaya (UM) lebih 40 tahun lalu.

Sebagai penghargaan, kesatuan pelajar UIAM menerima dana RM100,000 secara one-off (bayaran sekali) daripada KPM selain turut menerima peruntukan tahunan RM170,000 dari UIAM untuk aktiviti pelajar dan operasi mereka.

Sementara itu, Mazlee turut melancarkan ‘Buku Membaca: Motivasi dan Kaedah’ hasil tulisan Datuk Seri Prof Zaini Ujang terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Buku setebal 205 halaman itu mendedahkan 1,001 rahsia dan tips berkaitan membaca selain berkongsi pelbagai teknik pembacaan termasuk kaedah luncuran dan imbasan.

Ia dibahagikan kepada empat bahagian meliputi 10 bab yang mengupas secara
terperinci mengenai Masyarakat Membaca, Persediaan Membaca, Teknik Membaca dan Epilog Membaca.

-- BERNAMA