Berita

Berita

Medium membentuk kepimpinan dan kesukarelawanan kalangan mahasiswa

Medium membentuk kepimpinan dan kesukarelawanan kalangan mahasiswa

Tarikh : 08 January 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

BERSEMPENA cuti sekolah Disember lalu, seramai 88 orang belia Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) sanggup mengorbankan cuti hujung minggu mereka untuk turun padang sebagai sukarelawan bagi sebuah program yang dianjurkan dengan kerjasama Neo Synergy Training Centre (NSTC).

Program Teen’s Outreach Camp (TOC) kali ke-9 ini telah diadakan di tiga tempat berbeza secara serentak iaitu di Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu, Asia Camp dan di Masindung Resort, Papar, Sabah dan merupakan program penutup bagi siri Youth Development di bawah YDKMM.

Sambutan baik daripada kesemua 88 sukarelawan ini merupakan anak muda yang juga para pelajar dari tujuh buah universiti di Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Para sukarelawan telah menjalani program bersama 364 orang peserta dari tingkatan 1 hingga 5 yang meilbatkan 27 buah sekolah seluruh Malaysia.

Perasmian penutup di Semenanjung dilaksanakan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK), Jabatan Pelajaran Putrajaya, Kamaluddin Md. Kassim dan Penolong Pengarah Institut Pendidikan Agama (IPA), Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Nurul Huda Omar bagi TOC Sabah.

Turut bersama dalam program ini ialah Yang Dipertua Muafakat Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Pengurus Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Muhamad Nazri Mustapa; Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusiaan dan Kepimpinan Sekolah Berasrama penuh, Muhammad Md. Derus; Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia, Ahmad Umair Zulkefli dan
Pengarah Program Teen’s Outreach Camp 2018, Muhd Fawwaz Azhar.

Rabiatul Adawiyah selaku fasilitator dari UTP berkata, tanggungjawab sebagai fasilitator selama 3 hari 2 malam, benar-benar mengajar erti pengorbanan dan kesepakatan. YDKMM berharap para sukarelawan dan peserta dapat mengambil sebanyakbanyaknya pengajaran dan info untuk mereka terus maju dan menjadi pemimpin sehebat Sultan Muhammad Al-Fateh.