Berita

Berita

Penuntut UIAM patuhi PKP

Penuntut UIAM patuhi PKP

Tarikh : 24 March 2020

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR – Sudah lima hari telah berlalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan, pelajar tempatan dan antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sentiasa mematuhi kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) untuk sentiasa berada di dalam kampus sepanjang tempoh PKP.

Untuk itu UIAM telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif untuk membantu menyalurkan bantuan makanan dan barang keperluan asas untuk para pelajar yang berada di kampus Gombak, Kuantan, Gambang, Pagoh dan Kuala Lumpur.

Ini untuk memastikan supaya pelajar-pelajar dijaga dengan baik, selain mengurangkan pergerakan mereka dan menjaga keselamatan dan kesihatan mereka.

Ketika ini suasana di setiap kampus UIAM kekal tenang dan keadaan terkawal, bahkan banyak bantuan-bantuan yang diberikan daripada MKN, KPT, kementerian-kementerian, wakil-wakil badan bukan kerajaan(NGO), persatuan belia dan orang perseorangan.

Selain itu juga, perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan kafeteria (bungkus sahaja) beroperasi seperti biasa dan talian-talian hotline setiap kampus juga bersedia menerima sebarang panggilan bantuan daripada pelajar.

Sementara itu juga, satu bilik gerakan operasi diwujudkan bagi membantu dan dijadikan sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan(barangan kering) dikumpulkan dan akan diagihkan oleh para sukarelawan ke setiap Mahallah (Kampus Kediaman) secara berperingkat-peringkat.

Usaha ini juga digerakkan oleh Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) dengan kerjasama Kesatuan Pelajar UIAM (IIUMSU).

Segala bentuk agihan barangan keperluan kering seperti biskut, air, barangan keperluan wanita dan barangan lain akan dikumpulkan pada satu tempat.

Manakala bantuan-bantuan makanan yang sudah dimasak akan di letakkan di kafe mahallah untuk agihan kepada setiap pelajar yang kekal duduk di mahallah.

Pihak pengurusan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar UIAM di setiap kampus menjadi keutamaan dan kepada ibu bapa dinasihatkan supaya jangan bimbang dan gusar akan keselamatan anak-anak mereka sepanjang tempoh PKP ini.

Keadaan kampus kekal tenang hasil kerjasama semua pihak daripada pihak pengurusan, kakitangan dan pelajar. Selain itu juga, para pengetua mahallah, felo dan sukarelawan sentiasa menjaga kebajikan setiap warga kampus. – MalaysiaGazette

Source : https://malaysiagazette.com/2020/03/23/penuntut-uiam-patuhi-pkp/