Berita

Berita

Projek Qaf JASA UIAM berjaya tarik minat orang asli dalami Islam

Projek Qaf JASA UIAM berjaya tarik minat orang asli dalami Islam

Tarikh : 07 March 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

GUA MUSANG - Seramai lima penduduk orang asli Kampung Tohoi, Pos Tohoi di sini, memeluk Islam menerusi Pasca Projek Qaf yang diwakili tiga sukarelawan Kelab Jalinan Siswa Bersama Masyarakat Asli (JASA).

Projek Kembara Kelab JASA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berjaya mengislamkan Angah Cangki, Gayah Alang, Awis Anjang, Simah Alang dan Safura Sali.

Pengarah program, Muhammad Al Mubarak Ahmad Rufai berkata, mengikut data yang diterima, lebih separuh daripada komuniti orang asli di Kampung Tohoi beragama Islam

"Daripada 597 penduduk, seramai 386 beragama lslam dan kini jumlahnya meningkat kepada 391 orang.
"Alhamdulillah, ia merupakan satu pengalaman berharga dan usaha ini akan dilakukan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata, JASA adalah kelab yang bernaung dan diselia Pusat Jalinan Komuniti Siswa Universiti (BUDI) UIAM.

Menurutnya, tujuan utama penubuhan kelab adalah berkhidmat kepada masyarakat orang asli, khususnya di Selangor, Perak, Pahang dan Kelantan.

Katanya, JASA mempunyai tiga cabang utama, iaitu Ensino, Mentoring dan Projek Kembara.

"Ensino adalah program yang memfokuskan kepada anak orang asli dalam meningkatkan tahap akademik dengan menjalankan kelas tuisyen kepada mereka sebulan sekali. Setakat ini, program Ensino dijalankan di Sekolah Kebangsaan Asli Bukit Kemandol, Banting, Selangor.
"Program Mentoring pula dijalankan untuk anak orang asli yang mana lebih menumpukan peningkatan daya kepimpinan, sahsiah dan jati diri mereka," katanya.

Muhammad Al Mubarak berkata, Projek Qaf bertemakan 'Paragon of Growth' di Pos Tohoi selama seminggu itu adalah hasil kolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

"Fokus utama Projek Qaf ialah dakwah, pendidikan, keusahawanan dan infrastruktur. Menerusi Ziarah Mahabbah, mereka diberi penekanan agar mengamalkanm Islam secara konsisten serta mengajar praktikal solat," katanya.

Dalam pada itu, mereka turut menyumbang bantuan barangan asas seperti makanan, ubat ubatan dan pakaian hasil daripada sumbangan individu, organisasi serta badan bukan kerajaan kepada 600 masyarakat tersebut. Selain itu, mereka turut menyampaikan sumbangan tudung sekolah kepada pelajar yang beragama Islam di Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi.


Source;https://kampusuols.com/article...