Berita

Berita

Saifuddin sumbang makanan kepada pelajar UIAM kampus Kuantan

Saifuddin sumbang makanan kepada pelajar UIAM kampus Kuantan

Tarikh : 21 March 2020

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUANTAN, 20 Mac -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, menyampaikan sumbangan berupa makanan kering kepada pelajar yang menetap di asrama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sumbangan Saifuddin selaku Ahli Parlimen Indera Mahkota disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas di Parlimen beliau, Husainuddin Yaakub kepada Timbalan Pengarah UIAM Kuantan Prof Datuk Dr Ariff Osman yang mewakili pelajar terlibat.  

Husainuddin berkata sumbangan 300 bungkusan makanan terdiri daripada roti, biskut dan minuman bijirin itu diharap dapat membantu 300 pelajar universiti yang kini menjalankan tanggungjawab 'berkurung' bagi membendung penularan virus COVID-19. 

"Sumbangan ini diberikan selepas Saifuddin dimaklumkan terdapat pelajar yang menetap di asrama dalam tempoh pelaksanaan perintah itu.  

Walaupun dimaklumkan pihak universiti ada menyediakan makanan kepada pelajar terlibat, namun diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka mengalas perut sementara menanti makanan itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan itu di sini, hari ini.

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari Rabu lepas sehingga 31 Mac ini  bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dan sepanjang tempoh itu, orang awam tidak dibenarkan keluar tanpa sebab yang kukuh. 

Sementara itu, Ariff berterima kasih atas sumbangan itu menyifatkannya sebagai amat membantu pihak universiti dalam menjaga kebajikan pelajar selain dapat mengelakkan mereka daripada perlu ke kedai runcit jika lapar. 

Beliau juga menasihatkan ibu bapa pelajar yang berada di asrama untuk tidak bimbang kerana UIAM menyediakan makanan percuma sebanyak dua kali sehari sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu. 

Ariff memaklumkan mereka juga akan melakukan langkah pencegahan termasuk membuat saringan kesihatan kepada pelajar yang pulang ke kampus selepas tamat pelaksanaan perintah itu sebagai tindakan berjaga-jaga. 

-- BERNAMA 

Source : https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1823217