الأخبار
Adab, budaya masyarakat sudah hilang
التاريخ : 14 September 2019
المحرر : Roslan Bin Rusly
الفئة : News
غرد هذا
KUANTAN - Kementerian Pendidikan digesa mengkaji dan mengubah silibus pendidikan dengan menerapkan asuhan budi dan elemen kenegaraan bagi mengubah adab komunikasi masyarakat masa kini.
Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Rais Yatim berkata, media sosial telah mengubah adab dan budaya masyarakat dalam bersosial serta identiti individu terutama anak muda.
Menurutnya, perubahan adab berkomunikasi kini dilihat membahayakan kepada identiti nasional, budaya, bangsa dan agama.
"Bagi memastikan perubahan silibus ini berjaya dan memberi kesan jangka panjang, kerjasama pelbagai jabatan serta ibu bapa perlu ditingkatkan.
"Punca utama ialah pendidikan. Kita mesti kembali kepada pendidikan dan ubah silibus.
"Asuhan rukun negara perlu diperkuat kerana itu tiang kenegaraan. Bukan sekadar berada di belakang buku tulis. Saya harap Menteri Pendidikan cukup sensitif isu ini.
"Jabatan lain juga boleh berinteraksi dan mainkan peranan. Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab memantau anak masing-masing kerana telefon bimbit telah menukar personaliti mereka," katanya pada sidang akhbar Program Serlahan Budi di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gambang di sini semalam.
Rais (tengah) menyampaikan hadiah dalam.program Serlahan Budi di UIAM Gambang di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang.
Rais berkata, pemikiran seimbang dan komunikasi masyarakat Melayu kini berubah menjadi lebih dahsyat daripada penduduk negara lain.
Menurutnya, laporan tersebut diperoleh daripada International Communicational Indication.
"Ini reaksi saya dari pengamatan terhadap masyarakat. Sekiranya di Malaysia ada 32 juta, saya rasa tak kurang 17 juta ada gajet dengan pelbagai aplikasi dan kemudahan akses tanpa sempadan, sekali gus budaya kita berubah.
"Mereka bertutur bahasa kesat sehingga Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri pun sampai kena tohmah dan sebagainya.
"Dulu tak pernah berlaku, lebih-lebih pun surat layang. Kita masih kekalkan komunikasi beradab tapi kini adab sudah hilang," katanya.
Dalam perkembangan lain, sebagai mempromosikan Yayasan Budi, pihaknya akan menjalankan beberapa program termasuk bekerjasama dengan JKKN untuk mempromosikan Serlahan Budi.
"Kami ingin wujudkan sukatan pelajaran tentang rukun negara.
"Kami hendak memandu masyarakat dalam menjadikan rukun negara muncul di mana-mana program latihan murid murid atau latihan perkhidmatan awam dan guru guru yang mengajar sivik dan seni.
"Selain itu satu program bersama Yayasan Al Bukhari dan Yayasan Warisan Negara akan diadakan untuk melancarkan satu piagam di Muzium Islam Kuala.Lumpur pada 20 September nanti," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my...
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf