الأخبار

الأخبار

ISTAC Diberi Nafas Baru dan Peruntukan RM10 Juta – TPM

ISTAC Diberi Nafas Baru dan Peruntukan RM10 Juta – TPM

التاريخ : 27 June 2018

المحرر : Asma Azziani Bt. Abdul Ghani

الفئة : News


Share

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu yang diberi nafas baru daripada nama asalnya Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ia bertujuan meningkatkan kemampuan ISTAC menjalankan kajian mengenai pemikiran dan tamadun Islam yang digabungkan dengan penyelidikan mengenai tamadun Melayu di Nusantara.

Berucap pada program pelancaran Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Timbalan Perdana Menteri mahu nama ISTAC dikekalkan tetapi diberi nafas baru untuk turut menjalankan kajian mengenai tamadun Dunia Melayu.

“Saya mahu ISTAC dikekalkan dan saya mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada ISTAC untuk memasukkan unsur baru iaitu penyelidikan mengenai ketamadunan Melayu,” katanya.

Hadir sama, Penasihat Sosio Budaya Bagi Kerajaan Malaysia yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin.

ISTAC sebelum ini lebih menjuruskan pengkajian dan penyelidikan mengenai pemikiran dan tamadun Islam di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Libya, Afrika Utara, Turki dan Jordan.

Dengan adanya entiti baru itu, ISTAC akan turut memberi tumpuan kepada pengkajian mengenai Islam di Nusantara.

Ahmad Zahid juga menegaskan, dunia Melayu adalah antara elemen penting dalam menentukan survival Islam bukan sahaja di rantau ASEAN malah di dunia.

Beliau menegaskan, sejarah kesalinghubungan dunia Melayu dan Islam bermula sejak lama dahulu apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantaraan dalam penyebaran Islam di rantau ini.

“Pada pandangan Al-Attas, pemilihan bahasa Melayu oleh para mubaligh, merupakan perkara memang disengajakan. Ini kerana sifat dan sejarah bahasa Melayu yang hampir menyamai bahasa Arab yang dipilih sebagai bahasa penyebaran Islam melalui al-Quran.

“Inilah yang unik bangsa Melayu mengekalkan jati dirinya melalui penggunaan bahasa Melayu dan tulisan jawi, bahasa Melayu dan tulisan jawi ini jugalah yang menjadikan Melayu itu Melayu dan bukan Arab,” katanya.

Oleh Hassan Omar

Sumber www.bacalahmalaysia.com