الأخبار
Larian amal demi konservasi hidupan liar di Malaysia
التاريخ : 13 December 2018
المحرر : dsh
الفئة : News
غرد هذا
SURIAYATI BAHAROM, UTHM
29 November 2018
PAGOH – Bagi
meningkatkan kefahaman dan kesedaran konservasi hidupan liar dalam
kalangan masyarakat, hampir 350 peserta terdiri daripada pelajar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) serta masyarakat setempat telah menyertai larian amal
Run For The Wild: Fantastic Beast of Malaysia anjuran pelajar program Biodiversiti dan Pemuliharaan dan Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Pagoh 2.
Permulaan Larian Malam RFTW. (FOTO UTHM)
Menurut penasihat program Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM agenda mengarusperdanakan usaha konservasi ini patut disemai dalam minda pelajar dan masyarakat secara menyeluruh dan bukan hanya perjuangan peribadi golongan yang berada di dalam bidang ini sahaja.
Katanya mengikut laporan World Economic Forum, Malaysia memiliki jaringan jalan raya bertaraf dunia dan dari aspek pembangunan sosial, perkara ini sangat membanggakan. Namun, dari sudut konservasi hidupan liar, mereka mengalami fragmentasi habitat yang mana mereka terperangkap di dalam habitat yang kecil dan dikelilingi oleh infrastruktur seperti jalan raya.
DR. MUHAMMAD ABDUL LATIFF
“Ini jelas dilihat dari pelbagai laporan kes yang melibatkan kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar seperti kucing hutan, ular, tapir, beruang, gajah, harimau kumbang, harimau belang dan kambing gurun," katanya.
Tambahnya, konservasi hidupan liar semakin hari menjadi topik terpencil yang semakin lama semakin janggal dan aneh untuk dibincangkan oleh golongan di luar lingkungan penyelidik dan pemegang taruh hidupan liar.
“Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya perlu didedahkan terhadap kepentingan hidupan liar dan cabaran memulihara mereka kerana hidupan liar ini merupakan warisan negara yang sepatutnya dijaga oleh semua. Apabila semua masyarakat mulai sedar dan faham, maka setiap lapisan golongan yang bergelar warga negara Malaysia akan lebih bertanggungjawab mengenai konservasi hidupan liar," jelasnya.
Pengunjung kanak-kanak pameran WCS. (FOTO UTHM)
Program ini juga mendapat kerjasama daripada Wildlife Conservation Society (WCS), yang mana 10 orang wakil daripada pihak mereka turut menyertai larian tersebut selain turut mengadakan pameran mengenai konservasi hidupan liar.
Program larian sejauh lima kilometer ini merupakan acara tahunan kali kedua dianjurkan dan kali ini mencetuskan sedikit kelainan apabila diadakan pada waktu malam.
Sebanyak RM500 telah berjaya dikumpulkan menerusi program ini dan telah disumbangkan kepada WCS untuk membantu usaha pertubuhan bukan kerajaan tersebut memperjuangkan nasib hidupan liar di Malaysia.
Sumbangan UTHM kepada WCS. (FOTO UTHM)