الأخبار
MPPK wujud ekosistem pendidikan berdaya saing secara global
التاريخ : 04 September 2018
المحرر : dsh
الفئة : News
غرد هذا
Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
MPPK wujud ekosistem pendidikan berdaya saing secara global
Oleh Dr Maszlee Malik
bhnews@bh.com.my
Syukur
Alhamdulillah, saya sudah direzekikan menjadi tetamu Allah pada musim
haji kali ini dan ketika menulis artikel ini, saya seorang daripada dua
juta jemaah haji di Makkah.
Di sana, saya terkenang catatan Malcolm X yang mengungkap pengalamannya menunaikan ibadat ini: “Terdapat puluhan ribu jemaah yang datang dari seluruh pelosok dunia. Mereka terdiri daripada pelbagai warna kulit, dari mereka yang berkulit putih bermata biru sehingga mereka yang berkulit hitam dari Afrika, tetapi kami semua melaksanakan ritual yang sama, menunjukkan semangat kesatuan dan persaudaraan…”
Pengalaman haji beliau sudah berjaya mengubah pendiriannya. Sepulangnya dari Tanah Suci, Malcolm X memisahkan dirinya daripada pandangan radikal dari kaum, sebaliknya beliau menjiwai nilai kesatuan sesama manusia.
Pengalaman Malcolm X mirip dengan apa yang sudah berlaku pada 9 Mei 2018. Berjuta-juta rak-yat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersatu demi mencipta Malaysia Baharu, membuktikan bahawa aspirasi kuat mampu mengubah sesuatu yang mustahil menjadi realiti.
Walaupun klise, kesatuan dalam kepelbagaian ialah tanda aras bagi masyarakat yang matang – dengan perbezaan dihormati dan dirai sebagai inti pati pembangunan negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) secara jelas terhasil daripada semangat ini.
FPK yang diwujudkan pada 1988 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula Menteri Pendidikan, menyatakan: “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.
Demi melaksanakan falsafah ini dalam Dasar Pendidikan Negara (DPN), Akta Pendidikan Negara 1996 (Akta 550) sudah membentuk Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang berperanan untuk menasihati kerajaan dalam pendidikan.
Musyawarah bersama pakar
Saya berpegang kepada musyawarah dengan pakar dari pelbagai bidang dalam pembentukan dasar pendidikan. Malah lebih 1,400 tahun dahulu, dalam sebuah negeri yang jaraknya 340 kilometer dari Makkah, Nabi Muhammad SAW sudah membina masyarakat Madinah yang utuh atas prinsip syura.
Abu Hurairah meriwayatkan: “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih senang untuk meminta nasihat sahabatnya melainkan Rasulullah SAW”. (diriwayatkan oleh al-Tirmidhi)
Bahkan Allah memuji dan memerintahkan Nabi: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau sudah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau sudah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya”. (al-Imran: 159)
Keratan akhbar BH 20 Ogos lalu.
Terima nasihat orang lain
Al Raysuni mengulas bahawa Rasullullah sebagai ‘seorang pembimbing, pendidik, panglima dan pemimpin’ harus ‘berlaku lemah-lembut, baik hati, penyayang, bertoleransi atas kegagalan dan memaafkan mereka yang melakukan dosa’.
Ayat ini juga menyeru Rasullullah untuk menerima nasihat orang lain dan mempertimbangkan pendapat mereka. Dengan melihat prinsip ini, kami sudah melantik tujuh individu, manakala empat lagi akan diumumkan kelak untuk berkhidmat sebagai ahli MPPK dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.
Saya percaya bahawa Pengerusi MPPK, Tan Sri Wan Zahid Mohd Noordin sebagai bekas Ketua Pengarah Pelajaran dan bekas Pengerusi MPPK (2010-2012) akan menasihati saya dengan sewajarnya.
Beliau tokoh pendidikan, aspirasi beliau jelas iaitu memastikan pendidikan dapat diakses secara sama rata, melahirkan pelajar yang berdaya saing pada peringkat global serta menanam nilai kasih sayang dan pembelajaran yang seronok di sekolah.
Tan Sri Yong Poh Kon, Timbalan Pengerusi MPPK pula ialah tokoh korporat yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan. Kepakaran beliau akan membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan mengikut arus indsutri serta mengurangkan kadar pengangguran graduan.
Realisasi harapan rakyat
Lima ahli MPPK yang lain juga mewakili pemegang taruh penting dalam sistem pendidikan.
Sebagai pengasas dan Pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE-Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan), Datin Noor Azimah Abdul Rahim membawa sudut pandangan ibu bapa, tambahan pula beliau Pengerusi Yayasan Pendidikan Elena Cooke yang membantu anak-anak miskin untuk menyambung pengajian tinggi.
Selain itu, Datuk Satinah Syed Saleh memainkan peranan penting dalam penggubalan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555). Beliau juga Ketua Pejabat Pengurusan Projek (Fasa 1) yang mengkaji semula sistem pendidikan sehingga tercetus Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Datuk Dr Sukiman Sarmani mempunyai pengalaman selama 40 tahun sebagai pensyarah dan pentadbir akademik yang menyelia pembangunan dan penilaian kurikulum sains di universiti.
Brig Jen Datuk Yusri Anwar yang kini bertugas sebagai Panglima Kumpulan Artileri Pertahanan Udara juga sudah dilantik.
Mengapa seorang ahli tentera dipilih? Pandangan beliau diperlukan untuk menyuntik semangat patriotisme melalui pendidikan. Kecintaan terhadap tanah air dan kesediaan untuk berkorban adalah vital dalam pembangunan negara.
Pastikan OKU dapat peluang sama
Prof Dr Ruzita Mohd Amin, pakar bidang ekonomi dan pendidikan orang kurang upaya (OKU) dilantik untuk memastikan OKU mendapat peluang sama dalam sistem pendidikan.
Beliau mengetuai Unit Perkhidmatan Ketidakupayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bekas Ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU.
Ruzita berpegang kuat dengan pendidikan inklusif dalam transformasi pendidikan khas negara.
Sebagaimana yang sudah saya zahirkan sebelum ini, selepas pindaan undang-undang, akan ada penambahan empat ahli baharu dalam MPPK.
Mereka terdiri daripada pendidik yang akan mewakili sudut pandang dari Sabah dan Sarawak, Begitu juga wakil masyarakat India.
Komposisi MPPK melambangkan cita-cita saya untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang berdaya saing secara global, di samping memupuk tiga nilai teras iaitu kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati.
Saya yakin bahawa ahli MPPK akan memberikan pandangan bernas demi membangunkan sistem pendidikan yang holistik dan inklusif. Usaha ini bertujuan merealisasikan harapan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.