الأخبار
Perbuatan membuang sampah ke laut harus dihentikan
التاريخ : 24 September 2019
المحرر : Roslan Bin Rusly
الفئة : News
غرد هذا
Oleh Mohd Rafi Mamat
KUANTAN:
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menghantar surat
peringatan kepada enam negara yang sampah mereka ditemui di kawasan
pantai daerah ini.
Rektor UIAM, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata tindakan itu bagi mengekang perbuatan membuang sampah ke laut berlaku hingga menyebabkan pencemaran dan menjejaskan hidupan maritim.
Katanya, kebanyakan sampah ditemui itu ialah botol minuman dan bekas diperbuat daripada kaca, dengan turut tertera nama negara pengeluarnya.
“Kita memandang serius perbuatan membuang apa saja jenis sampah ke laut kerana kesannya cukup dahsyat pada hidupan marin seperti ikan dan penyu, begitu juga manusia sendiri bagi tempoh jangka panjang.
“Kebersihan laut yang menjadi sumber ekonomi beberapa negara sepatutnya dijaga bersama, bukannya negara tertentu sahaja,” katanya pada Program Kempen Kekal Bersih - Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa 2019 di Pantai Baru Cherok Paloh, di sini semalam.
Hadir sama Pengarah UIAM Kuantan, Profesor Dr Kamaruzzaman Yunus.
Disertai 200 pelajar UIAM dan penduduk setempat, lebih satu tan sampah pelbagai jenis seperti botol, plastik dan pukat terpakai berjaya dikumpulkan sebelum dilupuskan.
Dzulkifli berkata, perbuatan membuang sampah ke laut oleh beberapa negara memberi kesan kepada Malaysia, sama seperti kes jerebu yang berlaku ketika ini.
“Perbuatan nelayan membuang pukat dan jaring ke laut juga mengundang gejala buruk. Ini boleh mengancam kehidupan maritim. Jadi, kita berharap semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan laut untuk kebaikan bersama,” katanya.