الأخبار

الأخبار

Perkasa Tauke Muda

Perkasa Tauke Muda

التاريخ : 12 December 2018

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

Keadaan pertumbuhan ekonomi negara sejak kebelakangan ini yang dilihat mengalami kemerosotan bukan saja dirasai masyarakat dalam menjalani urus niaga, malah impak terhadap penjanaan pendapatan buat lepasan universiti turut terjejas seperti mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pilihan kedua yang dapat membantu selain bekerja makan gaji adalah dengan cara mengusahakan perniagaan, namun usaha itu semestinya perlu dilakukan seiring kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri seseorang peniaga seperti kemahiran kepemimpinan.

Melihat isu global itu, jenama kopi kegemaran dunia, Nescafe menganjurkan Program Keusahawanan Belia Nescafe yang membabitkan 5,000 usahawan belia yang terdiri daripada pelajar universiti di negara ini.

Pegawai Eksekutif Perniagaannya Othman Chraibi ketika ditemui dalam majlis Hari Anugerah Program Keusahawanan Belia Nescafe (NYEP) berkata, pekerjaan untuk belia menjadi isu global yang hangat dan sebagai pemimpin bertaraf global, pihaknya berhasrat memainkan peranan dalam merangka penyelesaian itu.

“Program Keusahawanan Belia Nescafe membantu pelajar universiti tempatan mengasah kemahiran keusahawanan mereka dengan menguruskan Gerai Pop-Up Nescafe kami.

 “Menerusi NYEP, kami memperkasakan usahawan muda baru untuk menyahut cabaran, seiring cogan kata, ‘Segalanya bermula dengan Nescafe’,” katanya.

Menerusi NYEP, selain menerima pelaburan awal dalam bentuk barangan, pelajar dilengkapkan dengan kemahiran keusahawanan asas bermula daripada mempelajari cara penyediaan minuman kepada pengurusan perniagaan, merangka pelan promosi, peserta diberikan latihan dan panduan keusahawanan dalam bidang penting seperti pengurusan perniagaan, prosedur operasi piawaian, jualan serta komunikasi.

Program yang memberi tumpuan terhadap aspek yang diutamakan Nescafe dengan memperkasa belia menerusi latihan dan kemahiran keusahawanan itu bukan saja mengiktiraf

program keusahawanan pada 2018, malah meraikan pencapaian kampus masing-masing dalam majlis Hari Anugerah NYEP yang berlangsung di Kota Damansara, baru-baru ini.

Sejak 2016, Gerai PopUp Nescafe dikunjungi lebih 1.2 juta pelajar setakat ini menerusi program NYEP dan pada tahun ini 10 universiti terbabit iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sunway Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam majlis anugerah itu, tiga pemenang utama NYEP diumumkan, apabila pasukan dari UIAM muncul pemenang hadiah utama yang membawa pulang wang tunai RM25,000, UPSI sebagai naib juara dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapat tempat ketiga, masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan RM5,000.

Selain itu, anugerah lain bagi kampus berprestasi terbaik turut diraikan menerusi beberapa kategori seperti Biz Masters (jualan tertinggi), Super Brewers (kriteria operasi hab), Super BariStar! (minuman kampus sendiri) dan Kahuna Maestros (bulan kopi sedunia). Wakil pasukan UIAM, Tengku Mohd Hazwanhisyam Tengku Zulkarnaini, 23, berkata, kemenangan pasukannya sebagai juara itu tidak dijangka dan hanya melakukan yang terbaik.

“Untuk memenangi kemenangan dalam program ini adalah di luar jangkaan kami, di mana kami mula membuka kedai pada Jun lalu yang agak lewat berbanding pasukan lain, tetapi berjaya ‘mengejar’ kemenangan ini.

“Pasukan kami dibentuk menerusi pencarian dari sesi temu duga terhadap pelajar yang betul-betul berminat menyertai pertandingan ini dan hasilnya kami terdiri daripada pelajar pelbagai jurusan, seperti saya sendiri dari jurusan Perundangan, ada juga dari Sains Manusia dan Ekonomi yang memilih untuk mempelajari dunia keusahawanan.

“Pasukan yang dibentuk itu berusaha keras dan anggaran jualan yang diperoleh dalam sehari ialah RM700 serta lebih 300 cawan terjual,” katanya.

Katanya, wang tunai hasil kemenangan berjumlah RM25,000 itu bakal digunakan sebagai pelaburan perniagaan masa hadapan. Sementara itu, Othman yang melihat usaha dan kejayaan pelajar dalam program itu berkata, pihaknya gembira melihat begitu ramai belia mempelajari kemahiran perniagaan berguna yang pasti memperkasakan mereka untuk memasuki dunia pekerjaan.

“Pelajar ternyata sudah mengharumkan nama program, malah mereka menjana keuntungan yang disalurkan kembali kepada universiti masingmasing,” katanya.

Turut berlangsung dalam majlis itu, sesi dialog yang mengenai perkongsian maklumat, kisah penuh inspirasi dan pengalaman daripada usahawan Malaysia iaitu cef selebriti dan usahawan Anis Nabilah, pengasas bersama DOJO KL Dewan Ng, Pengurus Talent Acquisition Nestle Malaysia, Shariza Mohd Razi dan Othman Chraibi