الأخبار
Program Gotong-Royong 4.0 bersama pelajar dan kakitangan UIAM
التاريخ : 26 April 2019
المحرر : Roslan Bin Rusly
الفئة : News
غرد هذا
KUALA LUMPUR - IIUM River of Life di bawah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengadakan program Gotong-Royong 4.0 di kolam Mahallah Bilal, baru-baru ini.
Seramai 120 sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UIAM tempatan dan luar negara, serta kakitangan akademik dan pentadbiran universiti juga turut serta untuk menjayakan program ini.
Pengarah program Gotong-Royong 4.0, Dr Farah Diana Mohd Daud berkata tujuan program ini adalah untuk membersih dan mengurangkan pemendapan di kolam Mahallah Bilal bagi mencapai pemulihan kolam di masa depan.
"Di samping itu, tujuan program ini juga adalah untuk mewujudkan rasa pemilikan di kalangan pelajar untuk menjaga kolam dan sungai mereka.
"Sebelum memulakan gotong-royong, taklimat keselamatan turut diberikan oleh Jabatan Keselamatan Pekerja, Kesihatan dan Alam Sekitar UIA (OSHBE) Datuk Ir Shaffei Mohamad," katanya.
Rektor Universiti UIAM, Professor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, telah hadir untuk majlis perasmian program tersebut.
Rektor UIAM dalam ulasan beliau gotong-royong ini adalah pengalaman yang unik, di mana kakitangan unversiti dan para mahasiswa bersama-sama turun padang untuk membersihkan sungai, dan kolam air di Mahallah secara bergotong-royong.
"Sambutan yang diterima pada hari ini adalah sangat responsif dan fenomenal. Saya berharap program ini akan menjadi isyarat kepada komuniti kampus, bahawa pihak UIAM serius dalam usaha memulihara alam sekitar sesuai dengan slogan UIAM sebagai sebuah 'Taman Ilmu dan Budi'.
"Semoga program ini menjadi pemangkin supaya lebih banyak aktiviti seumpamanya diadakan pada masa akan datang," katanya
Turut hadir ke program tersebut adalah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Pelajar, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, Pegawai Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jehabar Sadiq, dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof Dr Ahmad Faris Ismail.
Program ini telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Mahallah Bilal, Bahagian Pembangunan UIA, Daya Bersih Sdn Bhd, Kelab Pelajar UIA Eco-Club, Pejabat Komunikasi Korporat UIA (OCCM), Asia Pacific Environmental Consultants (ASPEC) Sdn Bhd
Program ini turut menyaksikan perasmian 'Friend of Sungai Pusu (FoSP) Network' dengan penanaman pokok 'Weeping Willow' berdekatan dengan kolam tersebut.
FoSP telah ditubuhkan untuk memulakan dan memperjuangkan usaha kerjasama alam sekitar di kalangan masyarakat UIAM dan masyarakat tempatan sekitar Sungai Pusu terutamanya perkampungan Orang Asli.
FoSP adalah sebahagian dari 'River of Life (ROL) IIUM' yang merupakan salah satu "IIUM Flagship” yang di pengerusikan oleh Prof Madya Dr Maan Fahmi Rashid Al-Khatib.