الأخبار

الأخبار

PROTEGE galak mahasiswa sertai keusahawanan

PROTEGE galak mahasiswa sertai keusahawanan

التاريخ : 04 April 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

GEORGE TOWN - Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTĔGE) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dilihat membantu mahasiswa menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, apabila siri jelajah dilakukan ke beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memberi pendedahan meluas kepada golongan tersebut.

Ketua Sekretariat PROTĔGĔ, Norashikin Ismail berkata, pihaknya berusaha memberi galakan kepada mahasiswa bagi menceburi bidang itu untuk menjadi penuntut dan graduan yang berdikari terutamanya dalam berdepan cabaran dalam mendapatkan pekerjaan pada ketika ini.

"Kami menyediakan program latihan keusahawanan dan kebolehpasaran kepada pelajar, lepasan sekolah, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan ke atas bagi membentuk dan membimbing para belia dengan kerjasama pakar industri selepas ia dijenamakan semula daripada Program Skim Latihan Malaysia (SLIM).

"Justeru, kita akan mengadakan jelajah di 13 buah IPTA seluruh negara bermula di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memberi pendedahan kepada golongan mahasiswa mengenai bidang keusahawanan agar mereka lebih berani menerokai bidang ini," katanya kepada pemberita kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Perkongsian dan Slot Motivasi bersama Agensiagensi MED sempena Program Karnival Kerjaya dan Usahawan bagi PROTEGE ReachOut & Awareness di Dewan Pembangunan Siswa, USM di sini.

Program tersebut turut dihadiri oleh mahasiswa USM bagi bagi mendengar penerangan berkaitan perniagaan dan peluang kewangan yang ditawarkan kerajaan. Antara agensi yang terlibat termasuklah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), Pusat untuk Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR), Yayasan Bank Rakyat serta SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Selepas USM, PROTĔGĔ seterusnya akan menjelajah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor pada 2 dan 3 April ini; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor (3 dan 4 April) serta Universiti Malaysia Pahang (UMP) (5 dan 6 April) sebelum ke beberapa IPTA lain.

Sementara itu, penuntut sarjana dalam bidang Grafik Komunikasi USM, Mohd Nazar Yamat, 28, berkata, sesi perkongsian berkenaan memberi peluang buat dirinya bagi bertemu beberapa organisasi berkaitan secara serentak bagi mendapatkan nasihat untuk mengembangkan perniagaan percetakannya.

"Dalam masa dua jam program ini, saya dapat berjumpa beberapa organisasi seperti Tekun Nasional dan SME Corp bagi mendapatkan pendedahan berhubung bantuan pinjaman perniagaan yang ditawarkan.

"Program ini begitu membantu dan membuka mata golongan siswa yang tidak tahu mengenai dana dan bimbingan yang kerajaan tawarkan kepada mereka," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, penuntut tahun dua ijazah dalam bidang Sains Kemasyarakatan, Anasuha Halhana Jilim, 22, berkata, program itu membantunya dalam memudahkan usahanya bagi mengembangkan perusahaan pisang keju yang baru dimulakannya.

"Ia sebagai persediaan saya sebelum graduasi bagi berdepan situasi mencabar mendapat pekerjaan dengan membuat persediaan dalam bidang perniagaan," katanya.