الأخبار
UIAM diisytihar pusat kepakaran serantau pendidikan
التاريخ : 09 May 2020
المحرر : Roslan Bin Rusly
الفئة : News
غرد هذا
KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diisytihar sebagai Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE) oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut UIAM dalam kenyataannya hari ini, sijil pengisytiharan itu diberikan UNU atas komitmen universiti itu dalam membina masa depan lestari melalui pendidikan iaitu salah satu agenda Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pusat kepakaran serantau yang diberi nama RCE Greater Gombak itu adalah yang pertama seumpamanya yang berteraskan fungsi dalam pendidikan untuk pembangunan lestari.
Untuk rekod, kesemua pusat kepakaran serantau berteraskan geografi kecuali RCE Greater Gombak UIAM sahaja yang berlandaskan fungsi.
Di bawah RCE Greater Gombak ini, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti dan inisiatif pendidikan lestari bersama masyarakat, industri serta sektor kerajaan.
Antara aktiviti dijalankan adalah pendidikan asnaf di Perlis, pelancongan lestari di Pagoh, Johor, kesihatan lestari di Kuantan, Pahang dan sekolah sejahtera di Terengganu.
UIAM kini menyertai 180 pusat kepakaran serantau di dunia yang memberikan fokus kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.
Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kenyataan itu, berkata peranan universiti itu lebih besar dan meluas serta sentiasa mendukung segala usaha dalam melestarikan pendidikan supaya masyarakat sekeliling tidak ketinggalan.
"Ini bermakna sekarang universiti ini mempunyai peranan global dalam menentukan pendidikan bagi membina masyarakat di sekeliling kita.
"Ini adalah satu rencana di bawah bangsa bangsa bersatu, sekarang ini pendidikan diberikan keutamaan dalam menentukan apakah bentuk masa hadapan yang kita akan ungkapkan bersama bukan sahaja bagi universiti tapi bagi masyarakat sekitarnya," katanya.– BERNAMA