الأخبار
UIAM PAGOH JUARA PERTANDINGAN PANTUN
التاريخ : 24 October 2018
المحرر : Mohamad Hazim Bin Selamat
الفئة : News
غرد هذا
UIAM PAGOH JUARA PERTANDINGAN PANTUN
Sempena Sambutan Bulan Bahasa Za’ba 2018 Universiti Putra Malaysia (UPM).
Oleh: Muhammad Faizuddin Bin Hashim
Penyertaan sulung pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dalam pertandingan pantun berjaya membuahkan hasil apabila merangkul gelaran juara Pertandingan Pantun Sempena Sambutan Bulan Bahasa Za’ba 2018 anjuran Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 Oktober itu telah melibatkan 12 pasukan yang bertanding. Penyertaan pasukan-pasukan dalam pertandingan tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar UPM sendiri yang mewakili kolej kediaman masing-masing dan juga penyertaan daripada universiti-universiti lain. Peringkat saringan, suku akhir dan separuh akhir diadakan pada 21 Oktober 2018 (Ahad) pada sebelah pagi dan petang, dan peringkat akhir diadakan pada 22 Oktober 2018 (Isnin) pada sebelah malam.
Pasukan pemantun UIAM Pagoh terdiri daripada pelajar-pelajar program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa (MLCOM) iaitu Muhammad Khalil Bin Khirrudin (pemantun pertama), Nor Hapiza Binti Adnan (pemantun kedua) dan Muhammad Nor Sahfiq Bin Amran (pemantun ketiga).
Perlawanan peringkat akhir telah menemukan pemantun UIAM Pagoh dengan pemantun dari Kolej Tun Dr Ismail UPM, setelah berjaya mengalahkan pasukan pantun dari Kolej Tujuh Belas UPM pada peringkat separuh akhir. Sementara itu, pemantun ketiga Muhammad Nor Sahfiq telah dinobatkan sebagai pemantun terbaik peringkat akhir dan juga pemantun terbaik keseluruhan.
Kejayaan pasukan ini hasil daripada bakat dan komitmen yang tinggi setiap ahli pasukan berserta tunjuk ajar pensyarah pembimbing. Gelaran juara yang disandang pemantun UIAM Pagoh dalam pertandingan ini sedikit sebanyak telah mengangkat nama baik UIAM Pagoh sekaligus menempatkan nama UIAM Pagoh dalam arena pantun peringkat universiti di Malaysia.