Berita

Berita

Anugerah ini milik petugas barisan hadapan - Dr Noor Hisham

Anugerah ini milik petugas barisan hadapan - Dr Noor Hisham

Tarikh : 19 March 2021

Dilaporkan Oleh : ISTAC Web

Kategori : News


Share

Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my

Putrajaya: "Hari ini genaplah setahun sejak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara kita.

"Pengurniaan anugerah (Anugerah Merit Ibn Khaldun Dalam Transformasi Sosial Global) ini menandakan perjuangan tanpa henti daripada barisan hadapan kita, dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan negara," ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, anugerah Merit Ibn Khaldun Dalam Transformasi Sosial Global diberikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu sebagai menghargai perjuangan petugas barisan hadapan yang berjuang tanpa henti.

"Petugas barisan hadapan di dalam sektor kesihatan dan keselamatan memainkan peranan penting dalam menasihati kerajaan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sesungguhnya, petugas barisan hadapan sudah melakukan suatu usaha yang luar biasa selama menghadapi tempoh pandemik ini. Semua pasukan barisan hadapan sama ada dalam sektor kesihatan dan keselamatan, memainkan peranan penting dan utama dalam menasihati kerajaan dan MKN bagi memastikan wabak ini dikendalikan secara sistematik, terkawal dan berjaya dibendung," katanya semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memberikan penganugerahan itu kepada Dr Noor Hisham.

Dr Noor Hisham berkata, petugas barisan hadapan hanya menjalankan apa yang dianggap memberi manfaat kepada negara serta melindungi dan mencegah Malaysia daripada mendapat lebih kesan buruk akibat wabak berkenaan.

"Kita semua harus ingat bahawa kesihatan dan keselamatan setiap orang harus menjadi tanggungjawab kita, kami percaya bahawa semua ini tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan penuh dari rakyat.

"Tidak dilupakan juga pengorbanan yang dilakukan oleh setiap anggota keluarga barisan hadapan. Dengan rendah hati saya menerima Anugerah Merit Ibnu Khaldun ini untuk Transformasi Sosial Global, bagi pihak semua agensi perubatan dan keselamatan, yang memikul tanggungjawab sebagai barisan hadapan, sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan usaha mereka yang berani dalam situasi pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 4:18 PM