Berita
Bijak, beradab guna teknologi IR4.0 jalani pendidikan dalam talian
Tarikh : 26 January 2021
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
Oleh Dr Nur Azam Abdullah dan Jufitri Joha - Januari 25, 2021 @ 11:48am
KETIKA dunia sedang berusaha dan berlumba dalam memacu kemajuan negara di era Revolusi Industri 4.0, dunia diuji pandemik yang belum nampak kesudahannya sehingga kini.
Namun, sekurang-kurangnya proses berkenaan sudah dimulai sebelum pandemik tercetus, bahkan menjadi pemangkin dan 'game changer' bagi setiap penyelidik dan aktivis untuk memahami serta meneroka setiap kekurangan bagi keperluan dunia terutama dalam bidang pendidikan.
Pelbagai teknik dan penyampaian diaplikasikan bagi melestarikan pendidikan di negara ini supaya tetap diteruskan walaupun negara berdepan masalah kritikal ketika pandemik.
COVID-19 akan menjadi sebahagian norma baharu seperti denggi dan AIDS, hingga hidup dan perjuangan pendidikan mesti diteruskan.
Permulaan pengajian bagi pelajar baharu semestinya suatu pengalaman mengujakan, ditambah iltizam dan semangat meneruskan pengajian di menara gading.
Namun, ketika negara masih berdepan masalah pandemik COVID-19, ambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui matrikulasi, lepasan diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi pengalaman baharu bagi pihak pengurusan universiti serta pelajar.
Pelajar terpaksa melalui kuarantin wajib selama 10 hingga 14 hari sebelum sesi pengajian dimulakan dan orientasi melalui talian dijalankan.
Inilah cabaran terpaksa diharungi mahasiswa seperti disifatkan majalah The Time sebagai generasi pandemik. Ini memerlukan daya juang, daya tahan dan daya bangkit (resilience) tinggi untuk mereka keluar dengan jayanya daripada mehnah dan tribulasi ini.
Ini supaya mereka tidak terus ketinggalan bahkan mengelakkan mereka menjadi generasi kecewa hingga sanggup membunuh diri. Resilience dan competency ialah dua ramuan terpenting dalam membangunkan belia berjaya.
Secara kasar, setelah rakyat Malaysia keseluruhannya menempuh saat sukar ketika berdepan pandemik sehingga sekarang, institusi pendidikan secara menyeluruh dilihat antara terkesan.
Hal ini boleh dilihat apabila waktu persekolahan dihadkan dan jumlah pelajar di setiap kelas dikurangkan. Begitu juga halnya bagi universiti awam (UA) dan swasta dengan pelbagai platform seperti Zoom, Google Classroom, YouTube, Google Meet, Microsoft Teams, WhatsApp serta Telegram digunakan bagi tujuan penyampaian kuliah.
Berdasarkan penelitian secara kaji selidik dilaksanakan Kulliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pensyarah secara umumnya tiada mempunyai masalah kritikal bagi pengajian secara maya, melainkan pengendalian kuliah secara serentak.
Sebaliknya, kebanyakan masalah disebabkan akses terhad pelajar dan khidmat talian internet tersekat-sekat. Antara usaha dilaksanakan adalah membenarkan pelajar yang mempunyai masalah terbabit untuk pulang ke kampus dan menggunakan perkhidmatan di makmal mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan.
Kursus pendedahan secara dalam talian juga dilihat semakin rancak diadakan kerana proses pengendalian program dilihat lebih mudah dan santai, bahkan menjimatkan kos penganjuran.
Akses pendaftaran bagi mahasiswa di negara ini juga tidak terhad tetapi mahasiswa mampu mengikuti kursus dianjurkan badan berkaitan di luar negara. Peluang seperti ini harus diambil secara positif bagi meningkatkan keupayaan ilmu pengetahuan golongan belia.
Dari sudut bidang teknikal, semestinya kita tidak mahu graduan dinilai secara teori sahaja tetapi ujian psikomotor, iaitu secara kasar (penggunaan anggota tangan dan kaki) dan halus (membabitkan koordinasi mata dan jari).
Sebagai contoh, seorang jurutera harus mempunyai keupayaan mengendalikan mesin dan peralatan bagi tujuan pengoperasian kelak.
Semestinya kita tidak mahu melahirkan graduan kejuruteraan yang hanya dapat mengira dan merekabentuk struktur secara teori dan alatan, tanpa mahir mengendalikan atau berdepan dengan situasi lebih nyata.
Pelajar dalam bidang perubatan juga kurang beroleh pemahaman secara menyeluruh ketika pelajaran bedah siasat dijalankan kerana semuanya diajar semata-mata melalui talian.
Hal ini menjadi semakin kritikal kerana tidak berlaku sentuhan dan penelitian organ dengan lebih terperinci. Secara tidak langsung, pembelajaran secara talian bagi tujuan ini kurang berkesan dalam melahirkan belia graduan berkualiti dari sudut teknikal.
Dalam berdepan situasi sebegini, seharusnya pendidikan dilestarikan melalui pembangunan teknologi seperti realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) yang juga elemen penting dalam IR4.0 sebagai simulasi hampir serupa dengan dunia nyata kerana negara masih berdepan dengan kemelut keselamatan belum stabil.
Model pembelajaran seperti penganjuran program juga boleh dilakukan secara hibrid antara fizikal dengan maya agar dapat memenuhi aspek teoritikal dan praktikal tanpa mengenepikan soal penjagaan kesihatan awam.
Model ini sudahpun dipraktikkan secara meluas dalam pelbagai bidang.
Intelek, rohani, emosi dan jasmani ialah elemen penting bagi melahirkan golongan belia bijak pandai yang suatu hari nanti akan menjadi insan seimbang serta barisan kepimpinan negara berkualiti.
Tambahan pula, komponen ini menjadi tunjang utama melahirkan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Sehingga hari ini, pelbagai inisiatif bagi penilaian dan pentaksiran dijalankan secara dalam talian. Antaranya pemberian kerja kursus, pembangunan projek dan ujian bertulis.
Pelajar berdepan tekanan yang boleh membawa kepada stress kerana sukar memahami sesetengah subjek, ditambah penilaian kertas kerja berlebihan. Maka, penilaian secara projek membabitkan kaji selidik secara dalam talian, simulasi komputer dan pengiraan antara kaedah berkesan bagi memberi kefahaman lebih praktikal kepada mahasiswa.
Tekanan dan stress antara perkara perlu diberikan perhatian serius dan bantuan profesional sewajarnya kepada mahasiswa terkesan bagi membendung gejala ini terus memburuk.
Indeks Belia Malaysia sudah lama memberikan petunjuk jelas mengenai kebimbangan gejala ini dalam kalangan belia jauh sebelum COVID-19 melanda, apatah lagi apabila pandemik melanda dalam keadaan situasi pembelajaran norma baharu mencabar.
Namun, bukan hanya pelajar berdepan cabaran dalam situasi ini, bahkan memberi impak besar kepada pendidik. Sebagai contoh, pelaksanaan peperiksaan dalam talian memberi ruang buat peniruan dan perbincangan dibuat tanpa dapat dikesan.
Perkara ini semestinya akan memberikan impak negatif dalam penilaian integriti bakal graduan belia kelak. Oleh itu, pendidikan integriti wajar diperhebatkan dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai cara.
Selain itu, mahasiswa mendapat akses nombor telefon guru dan pensyarah di musim seperti ini bagi membolehkan komunikasi berjalan lancar. Privasi dan profesionalisme turut menjadi isu perbincangan di peringkat pengurusan dengan mahasiswa bebas untuk bertanyakan hal berkaitan pelajaran tanpa mengira waktu; ada ketikanya di waktu tengah malam.
Oleh itu, kedua-dua pihak baik pendidik mahupun pelajar perlu meletakkan tahap profesionalisme tinggi, etika, budi bicara dan beradab sopan ketika berhubung menerusi aplikasi di telefon bersesuaian dengan prinsip asas pembelajaran, iaitu adab dan bertepatan dengan nasihat ibunda Imam Syafie agar beliau mempelajari adab terlebih dahulu sebelum menimba ilmu.
Pandemik COVID-19 umpama 'blessing in disguise' mencabar dan mendidik golongan pendidik serta aktivis agar kritis berfikir untuk mencari mencari formula ampuh melestarikan kualiti pendidikan belia di samping mengajak kita kembali kepada nilai asas kehidupan dan falsafah pendidikan seperti adab, integriti dan menjadi insan seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Nur Azam adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala Jufitri ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
Source: Bijak, beradab guna teknologi IR4.0 jalani pendidikan dalam talian (bharian.com.my)