News

News

Anugerah Ibn Khaldun buat petugas barisan hadapan

Anugerah Ibn Khaldun buat petugas barisan hadapan

Date : 24 October 2020

Reported by : Danial Yusof

Category : News


Share

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan memberikan Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global kepada petugas barisan hadapan.

Penganugerahan ini telah mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang juga Ketua Perlembagaan UIAM.

Tunku Azizah juga turut berkenan untuk berangkat mencemar duli dan menyampaikan anugerah tersebut.

Majlis penganugerahan ini dijadualkan bakal berlangsung pada satu tarikh yang akan ditetapkan November tahun ini dengan berpandukan kepada keadaan dan situasi penularan pandemic Covid-19 dan akan diadakan di UIAM Kampus Gombak, Selangor.

Penganugerahan ini bagi menghargai jasa-jasa dan usaha para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang dan memutuskan rantaian pandemic Covid-19 yang melanda negara kita sejak Mac lalu sehingga kini, sekali gus melambangkan penghargaan yang tidak terhingga dalam memerangi wabak tersebut.

Anugerah Merit Ibn Khaldun UIAM yang diperkenalkan pada tahun 2018 adalah anugerah untuk mengiktiraf organisasi yang menerajui serta menyumbang dari segi kepakaran atau kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat tanpa mengharapkan pulangan dari segi nilai wang ringgit.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, penganugerahan yang diberikan ini sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada barisan hadapan yang berterusan bertungkus-lumus memerangi dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Dengan adanya penganugerahan ini, ia sebagai tanda penghargaan dan ucapan setinggi terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan ia sedikit sebanyak menjadi pemangkin dan menaikkan semangat mereka dalam menjalankan tugas,” ujarnya.

Majlis penghargaan ini akan dijalankan pada skala yang kecil dan mengikut segala kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini adalah penganugerahan buat kali ketiga, yang mana sebelum ini antara penerimanya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada tahun 2018 dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada tahun 2019. – MalaysiaGazette

Source: https://malaysiagazette.com/20...