News

News

Nama Malaysia Harum di Algeria

Nama Malaysia Harum di Algeria

Date : 05 December 2018

Reported by : dsh

Category : News


Share

WESH hal? Labas? Sinwa? Indunisi?’ (Apa khabar? Sihat? China? Indonesia?). ‘Alhamdulillah, bikhair (baik). La’, ana Malizi (tidak, saya dari Malaysia).’ ‘Marhaban bikum ilal Jazair (Selamat datang ke Algeria).’

Genap sebulan berada di bumi barakah, El-Oued, Algeria, banyak perkara saya pelajari. Perjalanan untuk sampai ke sini bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Penantian hampir empat tahun akhirnya menjadi kenyataan. Seramai 15 pelajar wanita Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kini berada di El-Oued bagi mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Universiti Echahid Hamma Lakhdar selama lima bulan.

Algeria sebuah negara yang terletak di benua Afrika dan kedudukannya antara Tunisia, Libya dan Maghribi. Algeria boleh dikatakan sebuah negara yang kurang dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia, tapi Malaysia sangat terkenal di sini. Cuma mereka agak keliru sama ada kami dari China, Indonesia, Malaysia atau Thailand. Hal ini kerana kononnya raut wajah kami ada yang bermata sepet dan memakai tudung ‘segera’ dari Indonesia.

Orang Arab sangat terkenal dengan adat mereka iaitu menghormati, memuliakan dan menyantuni tetamu. Begitu juga dengan warga El-Oued. Sebaik sahaja kami melangkah turun dari kapal terbang di lapangan terbang domestik Guemar, kami disambut dengan buah kurma oleh para pensyarah dan pegawai universiti. Pihak universiti telah menyediakan sebuah bas bagi memudahkan kami membawa barang ke asrama memandangkan jarak antara lapangan terbang ke asrama kira-kira 30 minit perjalanan.

Setiap kali kami ke pasar atau pasar raya, kami sering menjadi tumpuan warga di sini. El-Oued bukanlah sebuah tempat pelancongan, disebabkan itu mereka sangat teruja apabila menerima tetamu dari negara lain.

‘Malizi, Malizi’, perkataan biasa didengari apabila berada di sini. Jika kami menyahut, mereka akan mengucapkan ‘Marhaban bikum ilal Jaza’ir’ yang bermaksud ‘Selamat datang ke Algeria’.

Peniaga-peniaga di pasar sangat ramah dan bersabar dengan kami. Disebabkan mereka pernah dijajah oleh Perancis, jadi bahasa pasar mereka kebanyakannya adalah gabungan bahasa Arab dan Perancis dan dipanggil bahasa Darijah.

Bahasa Darijah pada kami agak susah difahami kerana mereka menukarkan banyak jenis sebutan kepada huruf lain. Tapi sekiranya mereka dapati kami sulit untuk memahami bahasa Darijah, mereka yang mampu berbahasa Arab fushah (asli) akan membantu kami menterjemahkannya. Tapi bagi sesetengah orang yang tidak mampu berbahasa Arab fushah, mereka akan memberikan barang jualan kepada kami secara percuma.

Kadang-kadang sambil membeli-belah, mereka akan bertegur sapa dengan kami dan menceritakan segala pengetahuan masing-masing tentang Malaysia. ‘Khairun nas min Malizi’, yang bermaksud ‘Sebaik-baik manusia adalah dari Malaysia’.

MALAYSIA DIKENALI

Pemandu teksi yang dilihat biasa-biasa sahaja, namun mereka sangat berfikiran terbuka dan mempunyai banyak maklumat. Apabila ditanya dari mana mereka peroleh maklumat tersebut terutama tentang Malaysia, jawabnya mereka menonton dari YouTube dan berita setiap hari.

Suatu hari, kami ke pasar raya bagi membeli kelengkapan memasak untuk minggu tersebut. Semua barangan di pasar raya tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan Perancis membuatkan agak sulit untuk kami memilih bahan bersesuaian. Ketika kami memilih sosej, seorang wanita pertengahan umur datang dan bertanya sekiranya ada masalah.

Tanpa segan silu kami bertanyakan pendapatnya dan dia menyarankan kepada kami beberapa perkara. Selesai membuat pembayaran di kaunter, dia menuntun kami ke troli dan memberikan kami nombor telefon serta berpesan, ‘Nama saya Salima. Sekiranya kalian menghadapi apa-apa masalah sepanjang berada di El-Oued hubungi saya bila-bila masa, saya sedia membantu kamu semua.’

Selesai berkenalan ringkas, dia membantu kami menaiki teksi dan membayarnya. Dia jugalah yang menterjemahkan kepada pemandu teksi destinasi kami. Kami sangat terharu dengan kebaikan Ibu Salima. Semoga Allah merahmatinya.

Akhir kata, sebulan yang telah berlalu ini benar-benar memberikan kami banyak pelajaran berharga sehinggakan kami tidak pernah berasa asing berada di bumi El-Oued. Semua warga di sini sangat baik serta bermurah hati dan pastinya kami sudah mula menganggap Algeria sebagai negara kedua kami selepas Malaysia.

Tahniah Malaysia kerana memberikan persepsi terbaik pada mata dunia. Bahkan pelajar-pelajar sekolah juga mengetahui tentang Malaysia. Mereka beritahu mendapat maklumat tentang Malaysia kerana ia termasuk dalam subjek Geografi di sekolah arus perdana negara itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/agama/nama-malaysia-harum-di-algeria-1.798613#ixzz5Yn2QJp5E