News

News

Pelajar miskin cemerlang masuk UIAM

Pelajar miskin cemerlang masuk UIAM

Date : 17 June 2019

Reported by : Roslan Bin Rusly

Category : News


Share

Pelajar miskin cemerlang masuk UIAM

Oleh Mohd Rafi Mamat
bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Pelajar miskin yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 mendaftar ke Program Asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang, dekat di sini.

Abdul Manaf Abdul Aziz, 18, antara 3,604 pelajar yang diterima mengikuti program itu bagi mengejar impiannya bergelar doktor saraf dan otak.

“Syukur alhamdulillah impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti menjadi kenyataan. Berkat sokongan dan doa semua pihak, akhirnya pelajar miskin seperti saya berjaya melangkah ke menara gading.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita yang diimpikan untuk membela nasib keluarga yang hidup dalam kemiskinan,” katanya yang berasal dari Kampung Temai Tengah, Pekan.

Bekas pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) Pekan itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berharap Abdul Manaf dapat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Kisah kemiskinan keluarganya tersiar dalam akhbar sebelum ini sehingga menarik perhatian ramai pihak yang menghulurkan sumbangan.

Anak ketiga daripada lima beradik itu dipilih antara tujuh pelajar Pahang Biasiswa Kecemerlangan Pendidikan Menteri Besar Pahang dan menerima pelbagai bantuan.

Sementara itu, Pengarah UIAM Kampus Kuantan, Prof Dr Kamaruzaman Yunus, berkata Pusat Asasi Kampus Gambang mempunyai kemudahan lengkap dan akan memberi keselesaan kepada pelajar.

“Kita ingin menjadikan Pusat Asasi UIAM sebagai pusat pengajian yang serba moden serta memberi suasana pembelajaran yang selesa serta memuaskan kepada pelajar.

“Pengurusan UIAM memberi jaminan akan segera membaiki kelemahan yang ada demi kepentingan pelajar. Saya berharap ibu bapa tidak perlu bimbang terhadap anak mereka yang berada di sini,” katanya.