News

News

Pelaksanaan hukuman mati masih relevan

Pelaksanaan hukuman mati masih relevan

Date : 28 December 2018

Reported by : Roslan Bin Rusly

Category : News


Share

Saya merujuk laporan berita mengenai kenyataan kerajaan bersiap sedia membentangkan rang undang-undang bagi menghapuskan hukuman mati mandatori. Sebelum ini, kita juga mendengar laporan Kabinet telah membuat keputusan secara kolektif untuk memansuhkan semua hukuman mati, sama ada mandatori atauhukuman mati sebagai salah satu hukuman pilihan bagi 33 kesalahan mengikut lapan akta berkaitan.

Hukuman itu dikata akan diganti hukuman penjara 30tahun, iaitu hukuman penjara seumur hidup sebagai hukuman maksimum mengikut Akta Keadilan Jenayah. Bahkan, sebelum ini kita mendengar mengenai moratorium hukuman mati.

Pada 2017, kerajaan terdahulu membuat pindaan dan menamatkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan Seksyen39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kewajaran hukuman mati menjadi kajian oleh kerajaan, hasilnya patut disebar luas kepada rakyat untuk difahami alasan pemansuhannya.

Rakyat hendaklah diberikan peluang menyampaikan pandangan mengenai isu berkaitan. Kita perlu ambil perhatian bahawa penghapusan hukuman mati ialah gerakanhak asasi antarabangsa,terutama melalui ‘Convention against Torture and Other Cruel,Inhuman or DegradingTreatment or Punishment’ dan ‘International Covenant on Civil and Political Rights’, begitu juga dengan Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Antarabangsa.

Hampir 150 negara sudah menghapuskan hukuman mati dan lebih kurang 50 negara masih lagi mengekalkannya.Penghapusan semua jenis hukuman mati mungkin persediaan untuk menerima Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa yang dimaksudkan.

Pejuang hak asasi versi Barat anggap hukuman mati, sama ada mandatori atau pilihan kepada penjara seumur hidup adalah satu bentuk pembunuhan kejam, penganiayaan dan tidak berperi kemanusiaan.

Namun, bersandarkan alasan tersendiri, ramai masih menyokong pengekalan atau kewujudan hukuman mati. Hujah dikemukakan,antara lain balasan ke atas perlakuan salah dilakukan pesalah. Penjenayah perlu dihukum setimpal atas perbuatannya yang menyalahi aturan sistem kemasyarakatan. Hak mangsa jenayah hendaklah juga diutamakan, bukan semata-mata hak asasi penjenayah.

Ambil kira kepentingan mangsa

Kemuliaan mangsa jenayah hendaklah diambil perhatian utama dalam menentukan kadar atau bentuk hukuman pesalah. Dalam menentukan jenis dan tahap hukuman, mahkamah semestinya mengambilkira kepentingan mangsa dan darjah kekerasan dilakukan penjenayah ketika melakukan jenayah ke atas mangsa.

Hukuman, tidak mengira jenis, tidak boleh dilihat semata-mata bagi kepentingan penjenayah, tetapi hendaklah juga dilihat sebagai menegakkan keadilan kepada mangsa atau keluarganya.

Malah, dicadangkan supaya ketika menjatuhkan hukuman mati dan pelaksanaannya, mangsa atau keluarganya hendaklah diberi ruang bersuara, sama ada untuk memaafkan penjenayah atau tidak.

Pernyataan mangsa hendaklah diberikan nilai undang-undang pada sisi mahkamah. Ada juga penyokong hukuman mati berhujah, hakim mungkin melakukan kesilapan ketika membuat keputusan menghukum dengan hukuman mati.

Lantas, dihujahkan sekiranya seseorang itu dihukum mati, peluang memberi remedi kepada kesilapan itu tiada lagi. Bagi menjawab hujah itu, perlu di ingat bahawa setiap hukuman dikenakan ke atas pesalah telah melalui proses pendakwaan, perbicaraan dan pembuktian di mahkamah. Tiada keyakinan kepada sistem pendakwaan, perbicaraan dan pembuktian dilihat sebagai sandaran kepada hujah ini.

Oleh itu, tindakan perlu diambil ialah meningkatkan tahap pembuktian, bukan menghapuskan hukuman mati. Pembuktian kes membabitkan hukuman mati hendaklah diperketat, pembuktian hendaklah sampai ke tahap amat kukuh.

Dalam laras bahasa perundangan, ia hendaklah mencapai tahap ‘yakin’(pasti benar) atau beyond any shadow of doubt (melampaui sebarang keraguan), bukan hanya setakat beyond any reasonable doubt (melampaui keraguan munasabah).

Pembuktian hendaklah sampai ke suatu tahap tiada sebarang keraguan, walaupun sebesar zarah. Tahap pembuktian yang tinggi secara langsung dapat membantu hakim daripada terjerumus melakukan kesilapan dalam menentukan tahap dan sifat hukuman yang dikenakan. Walaupun banyak negara  telah menolak atau menghapuskan hukuman mati, ia tidak semestinya jadi ikatan atau ikutan Malaysia. Kita tidak perlu meniru atau ikut sahaja tindakan atau pendekatan negara lain. Malaysia negara merdeka dan berdaulat, punyai prinsip perundangan tersendiri.

Perlu yakin sistem kita

Setelah lebih 60 tahun merdeka, Malaysia berjaya membentuk jati diri perundangan negara, berjaya menghapuskan rayuan kepada Majlis Privy dan perbicaraan sistem juri.

Malaysia seharusnya yakin dengan sistem diamalkan selama ini, tidak hanya mengikut trend negara lain atau hanya mahu mencatat rekod menandatangani atau meratifikasi perjanjian antarabangsa. Sekiranya Malaysia perlukan perubahan berkaitan hukuman mati, ia mestilah berdasarkan kehendak masyarakatdan falsafah perundangan diamal di negara ini.

Seboleh-bolehnya perubahan itu harus bebas daripada kontroversi berpanjangan. Walaupun banyak negara telah menghapuskan hukuman mati, keperluan untuk mengamalkan hukuman itu tetap menjadi isu disebabkan ramai rakyat di negara berkenaan masih menyokongnya,terutama ke atas keganasan melampau atau amat kejam dan juga jenayah kejam membabitkan mangsa kanak-kanak atau warga tua.

Hukuman mati masih relevan dalam kes jenayah berat melampau seperti jenayah kemanusiaan, genosid atau penghapusan bangsa, rogol bersiri atau berkumpulan atau membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Sekiranya dilihat sejarah perlakuan jenayah di negara kita dalam beberapa keadaan,masyarakat Malaysia mahukan hukuman mati ke atas perogol, terutama yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa atau penjenayah yang menggunakan kekerasan atau senjata api.

Walaupun menyokong pengekalan hukuman mati bagi kesalahan berat di negara ini, ia tidak semestinya menjadi pilihan utama dan pembuktian dalam kes berkenaan hendaklah diubah kepada tahap lebih tinggi, manakala hukuman mati mandatori perlu dihapuskan sama sekali.

Source BH