News
PKP: Universiti perlu aktifkan sistem 'buddy' kesan mahasiswa hadapi masalah
Date : 19 April 2020
Reported by : Roslan Bin Rusly
Category : News
Tweet This
KUALA LUMPUR, 19 April -- Segelintir pihak mungkin beranggapan perasaan tertekan yang dialami seseorang sehingga menyebabkan kemurungan adalah perkara biasa, tidak kurang yang bersikap prejudis apabila ada mahasiswa mengadu tertekan kerana terpaksa berada di kampus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata hakikatnya setiap individu mempunyai keupayaan berbeza dalam berdepan setiap peristiwa atau krisis.
Katanya dalam keadaan demikian perkara utama yang diperlukan individu kemurungan ialah sistem sokongan terdekat dan adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib atau pengurusan universiti untuk mewujudkan satu bentuk sistem ‘buddy’ di kampus masing-masing dengan segera.
“Konsep ‘buddy system’ ini boleh menggalakkan sikap saling memerhati dan berhubung dengan mahasiswa lain supaya mereka boleh menjadi mata dan telinga pihak pengurusan mengenai kesihatan emosi dan mental para pelajar,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas mengenai psikologi dan mental penuntut yang ‘terkandas’ di kolej kediaman akibat PKP yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Mengulas lanjut Dr Rozanizam berpendapat semestinya semua pihak mengalu-alukan keprihatin yang dilakukan kerajaan ketika ini dalam memenuhi pelbagai keperluan asas harian termasuk makanan dan minuman kepada mahasiswa yang berada di kampus dalam tempoh PKP ini.
“Namun dalam masa sama perlu kita fahami bahawa keperluan mental dan psikologi mereka juga perlu diberi perhatian dan tidak boleh dipandang remeh kerana mungkin ada yang tidak dapat kekal positif akibat pelbagai faktor,” katanya.
Bagi mengelak risiko yang dibimbangi berlaku seperti perbuatan mencederakan diri akibat terlalu tertekan, keinginan membunuh diri atau gangguan lain seperti panik, insomnia dan sebagainya, unit kaunseling universiti perlu diperkasakan lebih-lebih lagi jika PKP berlanjutan lebih lama.
Dr Rozanizam berkata dalam keadaan terputus hubungan fizikal dengan dunia luar, pusat kesihatan universiti juga perlu menjadi ‘one stop centre’ bagi mahasiswa mendapatkan penilaian segera sekiranya mengalami masalah berkaitan mental.
“Lebih bagus lagi jika boleh wujudkan sesi talian telekaunseling. Universiti juga boleh sediakan outlet bagi mereka melepaskan tekanan seperti anjurkan aktiviti sukarelawan dalam keterbatasan semasa COVID-19 ini contohnya menjahit PPE (personal protective equipment) di dewan universiti.
“Contoh lain seperti inisiatif UiTM Dungun yang menyediakan aktiviti fertigasi cili serta menghasilkan produk sebagai memenuhi masa terluang mereka yang tidak dapat bebas keluar apatah lagi balik ke rumah masing-masing untuk berjumpa keluarga,” jelasnya yang juga Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).
Sementara itu seorang bekas pesakit yang mengalami tekanan emosi dan kemurungan berkongsi hakikat yang sukar untuk dilalui mahupun dijelaskan kerana kesan masalah itu membuat dirinya berasa takut tinggal berseorangan bagi tempoh yang lama khususnya dalam keadaan gelap.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Hannan, seorang penuntut jurusan seni reka landskap di sebuah universiti awam berkata keadaan itu menjadikan dirinya berasa berdebar, sukar bernafas, muntah dan perlu tidur lebih 10 jam lamanya untuk kembali tenang.
“Selalu digelar pengecut, tetapi syukur dari dulu sepanjang hidup saya mesti ada seorang kawan baik selalu bersama. Di tahun akhir ketika diploma saya disahkan telah pulih, berkat tiga tahun sebilik dengan kawan yang rajin mengaji, solat dan ajak saya dengar tazkirah agama selain makan ubat dan berjumpa doktor,” jelasnya.
-- BERNAMA