News
Tiga pelajar OKU curi tumpuan Majlis Baiah UIAM
Date : 02 February 2019
Reported by : Roslan Bin Rusly
Category : News
Tweet This
Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bh.com.my
GOMBAK: Tiga pelajar orang kurang upaya (OKU) mencuri perhatian apabila mereka turut sama melakukan baiah atau angkat sumpah sebagai pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Ahmad Hazmi Johari dan Nurulaini Ahmad, masing-masing berusia 21 tahun serta Ahmad Danial Mohd Sani, 25; antara 623 pelajar yang menamatkan minggu orientasi bagi kemasukan sesi 2018/2019, yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Kampus UIAM Gombak.
Majlis baiah itu disempurnakan Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.
Ahmad Danial yang cacat penglihatan ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana diterima masuk bagi menyambung pengajiannya dalam jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Quran dan Sunnah).
“Saya pernah kecewa kerana gagal menempatkan diri pada pengambilan pertama universiti ini walaupun hampir berputus asa ketika itu.
“Namun, demi menggapai cita-cita untuk menjadi pensyarah, saya akan teruskan perjuangan dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai impian itu,” katanya.
Bagi Nurrulaini Ahmad dari Taiping, Perak, berharap UIAM dapat meneruskan usaha menjadikan universiti itu mesra OKU memandangkan semakin ramai pelajar sepertinya bakal menyambung pengajian di kampus itu.
"Saya berharap lebih banyak kemudahan dan infrastruktur mesra OKU ditambah baik memandangkan ada sebahagian pergerakan golongan seperti kami terhad, tetapi itu bukan penghalang untuk menggapai impian masing-masing,” katanya yang mengalami kecacatan fizikal rendah.
Sementara itu, Dzulkifli berkata pihaknya melihat minat pelajar yang terdiri daripada golongan OKU untuk menyambung pengajian di UIAM sebagai pilihan tepat memandangkan universiti itu mengamalkan dasar inklusif OKU.
"Dasar inklusif OKU dilancarkan sejak November tahun lalu dan sebaik sahaja dilancarkan, ini bermakna UIAM adalah universiti mesra OKU.
“Kami berusaha menambah baik segala kemudahan untuk pelajar berkeperluan khas untuk semua kategori yang kini semakin meningkat bilangannya kepada 84 orang pelajar.
"Kemudahan ini bukan sahaja untuk pelajar malah kakitangan UIAM dan warga kampus keseluruhannya,” katanya.