News
UIAM dominasi Debat Diraja IPT 2019, ulangi kejayaan 12 tahun lalu
Date : 10 September 2019
Reported by : Roslan Bin Rusly
Category : News
Tweet This
KANGAR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya merangkul gelaran johan Pertandingan Debat Diraja Antara IPT 2019 bagi kedua-dua kategori bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, UniMAP dekat Pauh Putra, Perlis.
Ini sekali gus menyaksikan pasukan pendebat dari UIAM mengulangi kejayaan yang sama mendominasi kedua-dua kategori yang pernah dilakar pada tahun 2007.
Bagi kategori Bahasa Melayu, pasukan UIAM diwakili oleh Muhammad Ilham Hafiz Azmi, Nurul Syafiqah Ariffin dan Muhammad Wafi Anwar Roslan berjaya menewaskan pasukan dari UniKL dengan usul “Demi Perkara 152, Dewan Ini akan memberi mandat penguatkuasaan”.
Manakala bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan UIAM diwakili oleh Umy Marshita Mohamed Azhar, Irtza Ali Soomro dan Muhd Hilmi Mohd. Yazid juga berjaya mengatasi pasukan pendebat dari Universiti Malaya (UM), dengan usul “This House Prefers a Malaysia with a singular national identity as oppossed to a multicultural identity”.
Dengan kejayaan itu, kedua-dua pasukan UIAM membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan piala pusingan, manakala naib johan RM5,000 berserta trofi.
Gelaran Pendebat Terbaik Akhir Kategori Bahasa Melayu milik Muhammad Wafi Anwar Roslan (UIAM) manakala Dhanesh Ram Aggarwal (UM) untuk kategori Bahasa Inggeris.
Pendebat terbaik masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh DYTM Canselor UniMAP, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.