Berita

Berita

Ajar mengaji untuk tampung pengajian

Ajar mengaji untuk tampung pengajian

Tarikh : 20 December 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

Meskipun masalah tulang yang saya hadapi adakala mengganggu proses pembelajaran kuliah, termasuk perlu mendapatkan rawatan di hospital, saya perlu mengetepikan kesakitan ini supaya impian untuk menggenggam ijazah tercapai,” kata graduan, Atiqah Othman.

Lebih membanggakan, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mencatatkan keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred (GPA) 3.80.

Berkongsi masalah kesihatannya, Atiqah berkata, penyakit eksostosis dialami sejak kecil itu menyebabkan tulang di bahagian kaki tumbuh tajam sehingga menyebabkan beliau sering mengalami kekejangan pada anggota badan terbabit.


Pekerjaan sambilan 

Beliau berkata, masalah itu menyebabkannya sukar melakukan aktiviti lasak, malah beberapa kali terpaksa bertemu doktor ketika pengajian untuk menjalani rawatan. “Namun, saya tidak pernah menjadikan masalah dihadapi sebagai halangan dan alasan untuk tidak fokus terhadap akademik.

“Malah, sejak menjejakkan kaki ke universiti saya menetapkan matlamat untuk menggapai kejayaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis

Konvokesyen UIAM Ke-34 di UIAM Kampus Gombak, dekat sini, baru-baru ini. Atiqah berkata, bagi memastikan kelancaran pengajiannya, termasuk memiliki bahan pembelajaran lengkap, beliau melakukan pekerjaan sambilan dengan menawarkan perkhidmatan kelas tuisyen mengaji alQuran.

Dengan usaha berkenaan, beliau mampu membiayai sendiri yuran pengajian serta kos perbelanjaan di universiti, selain mendapat sokongan bantuan kewangan keluarga.

Beliau berkata, bagi menggapai kejayaan bergelar graduan, mahasiswa perlu berusaha gigih, berfikiran positif dan tidak mencari alasan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

“Saya ingin menyarankan, walaupun memiliki kekurangan, kita tidak perlu berasa rendah diri sebaliknya menjadikan kekurangan itu sebagai pembakar semangat untuk berjaya,” katanya yang bercita-cita menjadi pegawai undang-undang