Berita

Berita

Angkat martabat universiti, mahasiswa

Angkat martabat universiti, mahasiswa

Tarikh : 12 December 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

Pemansuhan AUKU dan dua lagi akta beri kebebasan terlibat aktiviti politik.

Kementerian Pendidikan beriltizam untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusiinstitusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 sebagaimana janji yang dibuat PH pada PRU14.

Usaha itu dilaksanakan demi mengangkat martabat universiti dan juga mahasiswa seperti mana yang terkandung dalam manifesto PH. Tanggal 4 Disember 2018, mencoret takwim penting dalam sejarah pendidikan negara apabila Rang Undangundang (RUU) mencadangkan pindaan terhadap tiga akta yang akan memberikan pelajar institusi pendidikan tinggi lebih kebebasan dalam penglibatan politik, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Akta tersebut ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Ketiga-tiga RUU itu bertujuan meniadakan larangan ke atas pelajar institusi pengajian tinggi untuk terlibat dalam aktiviti parti politik di kampus. Ini bermakna, sekiranya ia diluluskan, hak mereka untuk menyertai aktiviti parti politik di dalam kampus tidak lagi akan disekat.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang membentangkan kesemua rang undang-undang berkenaan untuk bacaan kali pertama berkata, bacaan kali kedua untuk kesemuanya akan diadakan pada mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.

Sementara itu, Maszlee  berkata, pemansuhan seksyen 15 (2)(c) adalah selari dengan transformasi politik yang dibawa oleh kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi, terutamanya dalam memberi lebih ruangkepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik mengikut sistem demokrasi.

Menurutnya, pelajar juga berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. “Kita berada dalam satu tahap pencapaian sejarah.

Pengalaman 4 Disember lalu akan dirakamkan dalam lipatan sejarah kerana pindaan ini sudah lama diharapkan oleh banyak pihak, khususnya mahasiswa,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mempelawa tokoh politik dari kerajaan PH dan pembangkang untuk berpidato di universiti-universiti awam seluruh negara.

Menurut beliau, pendekatan itu membuktikan Malaysia baharu menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka. Malah katanya, beliau  mahukan parti pembangkang seperti Umno dan Pas menggunakan kesempatan itu dengan sebaiknya.