Berita

Berita

Botol plastik sampah terbanyak di Pantai Pelindung

Botol plastik sampah terbanyak di Pantai Pelindung

Tarikh : 22 September 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUANTAN, 21 Sept -- Botol plastik merupakan sampah paling banyak dikutip dalam tempoh dua jam di pantai Pelindung di sini pada Program Pembersihan Pantai sempena Hari Pembersihan Persisir Pantai Antarabangsa 2019.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang Noor Jehan Abu Bakar berkata sukarelawan yang menyertai program itu mengutip 2,051 botol plastik daripada keseluruhan dua tan sampah, diikuti 1,680 cebisan plastik di tempat kedua dan 1,206 keping bahan pembungkusan. 

"Selain bahan buangan ini, program yang melibatkan kawasan pesisir pantai sepanjang lima kilometer ini juga mengutip lampin pakai buang bayi, pemetik api dan selipar. 

"Kita menganalisa sampah yang dikutip kerana jenis sampah ini membolehkan kita mempelajari banyak perkara dalam usaha menerapkan mesej kebersihan dan penjagaan alam sekitar kepada rakyat," katanya. 

Noor Jehan berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program itu yang keseluruhannya melibatkan 50 pelajar Green Mahalah Project dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di sini.

Program itu dianjurkan MNS dengan kerjasama Alam Flora, dan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu. 

Untuk rekod, Hari Pembersihan Persisir Pantai Antarabangsa disambut serentak di seluruh negara sejak 30 tahun lalu, melibatkan sukarelawan mengutip dan mendokumentasikan sampah yang dibuang di persisiran pantai.

Noor Jehan berkata MNS menjadikan amalan untuk merekodkan jenis sampah yang dikutip untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap enam bulan sekali, bagi tindakan sewajarnya pihak tersebut. 

"Kita juga mahu masyarakat sedar bahawa sampah yang dibuang di tempat lain boleh memberi kesan di kawasan berbeza kerana dibawa oleh  ombak dan air pasang. Pencemaran sebenarnya tidak mempunyai sempadan. 

"Orang ramai diharap lebih peka dengan perkara ini apabila dimaklumkan jenis sampah yang kita kutip supaya mereka mengambil tanggungjawab menjaga alam sekitar dan melupuskan sampah dengan cara yang betul," katanya. 

-- BERNAMA