Berita

Berita

Cabaran tangani dualisme Islam

Cabaran tangani dualisme Islam

Tarikh : 14 May 2018

Dilaporkan Oleh : dsh

Kategori : News


Share

© Utusan Melayu (M) Bhd HELO KAMPUS: 

Boleh Datuk Seri jelaskan cabaran pendidikan Islam hari ini terutama dalam mendepani perubahan Islamisasi ilmu dalam masyarakat dunia Islam hari ini? 

Dr. Zaleha Kamaruddin: Di tengah-tengah sistem pendidikan hari ini kita mendepani proses Islamisasi iaitu ilmu yang diperoleh oleh manusia. Keadaan ini merupakan bahagian penting daripada visi dan misi UIAM dan dapat dilihat sebagai tema utama yang menyatukan pelbagai disiplin pengajian di universiti. Islamisasi ilmu pada dasarnya didorong oleh kecenderungan untuk meneroka dan menghidupkan kembali sudut pandangan yang membentuk asas dalam pelbagai disiplin pengetahuan manusia sejajar dengan wahyu ilahi.

UIAM berjaya memartabatkan pendidikan Islam berlandaskan al-Quran dan Sunnah. UIAM berjaya memartabatkan pendidikan Islam berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Bagaimana pula integrasi ilmu dalam pengajaran dan pengajaran yang dilaksanakan oleh UIAM?

Sistem pengajaran dan pembelajaran UIAM dilaksanakan dengan mengintegrasikan ilmu duniawi dengan nilai-nilai dan moraliti Islam yang menepati cogan kata Taman Ilmu dan Budi. Ciri-ciri unik ini tersirat dalam falsafah dan logo UIAM. Sejak dari awal, objektif UIAM ialah untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa serta menegaskan kepentingan mengintegrasikan ilmu Islam dalam segala aspek pendidikan.

UIAM mengintegrasi ilmu wahyu dan ilmu duniawi ke arah untuk memperkasa konsep pendidikan yang dipraktikkan dalam persekitaran yang sekular. UIAM berinspirasi untuk melaksanakan penerapan prinsip dan nilai-nilai Islam dalam bidang pendidikan, inovasi dan penciptaan yang menyumbang kepada kualiti kehidupan manusia.

Boleh jelaskan keperluan utilitarian UIAM dalam pembangunan modal insan yang sempurna?

Kurikulum UIAM bukan sahaja mengambil kira aspek keperluan utilitarian dalam mengeluarkan siswazah teknokrat, birokrat dan profesional dalam pelbagai bidang pekerjaan tetapi juga memberi perhatian kepada perkembangan sosial dan kerohanian pelajar berasaskan ilmu akal dan ilmu wahyu berlandaskan prinsip-prinsip dari al-Qur’an dan sunah.

Sesuai dengan status UIAM sebagai universiti penyelidikan Islam terulung (premier), UIAM menyediakan persekitaran pembelajaran yang komprehensif yang membolehkan penyelidikan bertaraf teknologi tinggi dijalankan.

Demi mengekalkan mutu pendidikan yang berkualiti tinggi, UIAM turut memastikan ahli akademik adalah dalam kalangan yang berpengalaman industri dan berpendidikan di tahap ijazah kedoktoran. UIAM kini mempunyai lebih kurang seramai 1,100 tenaga pengajar yang kebanyakan daripada mereka mempunyai kelayakan doktor falsafah.

Bagaimana kemajuan dan pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan penyelidikan UIAM?

UIAM sangat menghargai kepentingan penyelidikan sebagai asas akademik selaras dengan kehendak Ayat 122 Surah Al-Taubah mencadangkan, perlu ada sekumpulan Muslim yang berdedikasi dalam menumpukan masa dan tenaga mereka untuk penyelidikan dan pembangunan ilmu untuk membimbing masyarakat Islam dan global.

Di UIAM, kami menghargai pentingnya menjalankan penyelidikan yang mengambil kira perspektif Islam supaya aspek perbandingan dapat dijelaskan demi mempromosikan Islam sebagai agama sejagat.

UIAM juga sedang memperkasa pembangunan pembelajaran dalam talian untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk memenuhi kehendak pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di UIAM.

Mahasiswa pencetus perubahan negara Malaysia. Apakah persiapan yang perlu disiapkan siswazah dalam mendepani cabaran Abad ke-21?

Melahirkan pelajar yang memberi manfaat kepada ummah adalah atribut siswazah UIAM yang diterapkan kerana kebanyakan mereka akan menjadi pemimpin organisasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang yang mereka pilih.

UIAM menawarkan kurikulum bersepadu di mana semua kursus dan program disemai dengan pengetahuan Islam dengan matlamat membangunkan aspek harmoni dan komparitif.

Apakah pencapaian terbaik UIAM?

Reputasi UIAM pada peringkat antarabangsa melonjak sebagai satu institusi pendidikan tinggi Islam yang tersohor di persada dunia.

UIAM telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah sejak ditubuhkan. Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) organisasi bawah OIC telah mengiktiraf UIAM sebagai Universiti Penyelidikan Islam Antarabangsa Premier pada tahun 2014 dan tersohor dalam kalangan universiti-universiti dari negara-negara Islam yang menjadi ahli OIC.

Baru-baru ini UIAM telah mendapat pengiktirafan dari Persatuan Universiti-Universiti Arab yang berpusat di Jordan kerana menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar dari negara Arab dan dunia Islam.

Dari segi penyelidikan halal, Institut Penyelidikan Halal dan Latihan Antarabangsa (Inhart) UIAM telah melangkah jauh dengan membuka cawangan penyelidikan halal di bumi Korea. Pembukaan cawangan ini adalah hasil kerjasama Inhart dan Chonbuk National University (CBNU) Korea.

Prof. Dr. Irwandi Jaswir dari Inhart telah menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal 2018 untuk kategori sumbangan kepada Islam daripada Yayasan Raja Faisal Arab Saudi.

Anugerah hadiah tersebut telah disampaikan oleh Penjaga Dua Kota Suci yang juga Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dalam satu majlis yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

UIAM juga mendahului penerbitan dalam bidang perbankan dan kewangan Islam, pada peringkat antarabangsa.

Capaian ini telah diakui melalui maklumat dari pangkalan data Scopus (Pangkalan Data Biblografi yang mengumpulkan jurnal artikel akademik pada peringkat antarabangsa).

Menurut data Scopus, artikel dan kajian dalam bidang perbankan dan kewangan Islam yang tertinggi adalah dari UIAM yang telah menyumbang sebanyak 11 peratus daripada penerbitan pada peringkat global.

UIAM kini dinobatkan sebagai institusi terbaik dunia dalam penerbitan bidang perbankan dan kewangan Islam.

UIAM juga bekerjasama dengan Akademi Ma’din di Kerala, India dalam menawarkan program pengajian bidang perbankan dan kewangan Islam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/cabaran-tangani-dualisme-islam-1.672096#ixzz5FTW58izi

© Utusan Melayu (M) Bhd 


Read more: https://www.utusan.com.my/pend...