Berita
Dr Mardiana kongsi 'rahsia' PhD selesai dalam 4 semester, jimat 1 semester...
Tarikh : 15 November 2018
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
WARTAWAN KAMPUS UOLS
14 November 2018
MUSIM kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengadakan majlis/istiadat konvokesyen ini, banyak perkongsian menarik yang boleh dijadikan motivasi untuk kita semua. Salah satu perkongsian yang menarik perhatian kampusuols.com ialah catatan daripada Dr Mardiana Mat Ishak, penerima Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) (Kulliyyah Pengetahuan Islam dan Ilmu Kemanusiaan) pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-34, Sabtu lalu khususnya sebagai panduan kepada golongan wanita bergelar ibu tetapi masih gigih menimba ilmu pengetahuan di peringkat tinggi.
Berikut adalah petikan catatan perkongsian Dr Mardiana.
=============================
Alhamdulillah Haza Min Fadhli Rabbi. Bersama anak kecil, PhD selesai dalam 4 semester dan jimat 1 semester. Anda juga boleh insya-ALLAH!
Kejayaan kita hari ini bukan kerana kita yang hebat. Tapi kerana kita punya ALLAH yang hebat. Memberi kekuatan di saat diri ingin berundur dari dunia yang dirasakan gelap bertutup rapat. Kerana-Nya dunia kembali nampak sinar yang mampat.
Bersama suami dan anak-anak. (FOTO FB DR MARDIANA)
Kejayaan kita harini juga kerana mereka ini yang hebat. Doa mereka yang penuh berkat. Kasih sayang yang tidak bertempat.
Salah satu antara 'BIG WHY' kenapa saya masih kuat meneruskan pelajaran sehingga PhD ini adalah kerana mereka.
Kalau ibu bapa kita sudah mengeluarkan hint atau soalan, “Bila pulak nak sambung PhD?”
Ingatlah bahawa soalan itu bukan hanya sekadar soalan. Tersirat di sebaliknya satu impian & harapan.
Impian ibu bapa untuk melihat kita naik ke pentas sebagai graduan PhD. Seolah-olah tamatnya satu perjalanan dunia akademik (formal).
Mungkin zaman mereka tiada peluang.
Mungkin zaman mereka tidak nampak jalan.
Mungkin kita yang pertama dalam keluarga.
Mungkin kita anak yang seterusnya.
Bersama bapa tersayang. (FOTO FB DR MARDIANA)
Mungkin ayah atau ibu kita sudah tiada, niatkan pahala ini jariah berpanjangan untuk mereka.
Mungkin. Mungkin. Mungkin..
Mengambil soalan tersebut sebagai Inspirasi & Motivasi. Namun ia tidak cukup jika tanpa Tindakan, Persediaan & Kesediaan.
Percayalah, jauh di sudut hati mana-mana ibu bapa pasti ingin melihat anak-anak mereka belajar & tamat sehingga peringkat tertinggi. Pada masa yang sama iman, akhlak dan menjadi hamba bertakwa, manusia berbudi.
Mungkin inilah saat dan peluang terakhir kita menggembirakan mereka. Dengan hadiah yang tidak seberapa. Memenuhi Impian & Harapan mereka. Entah kita dahulu atau mereka masa 'perginya' bakal tiba. Ya ALLAH, panjangkanlah usia mereka dalam kebaikan..
Di sisi ibu tercinta. (FOTO FB DR MARDIANA)
Semoga ini sedikit sebanyak menjadi jariah ilmu yang bermanfaat.
Saya sebenarnya memulakan perjalanan ini dengan kesilapan seperti kebanyakan calon Master PhD yang lain. (Rupanya ramai yang buat kesilapan yang sama ini tanpa sedar!)
Bermula tanpa tahu apa-apa. Masuk pintu tidak pasti yang mana satu kuncinya.
1 tahun lebih saya sepi tanpa ada apa-apa. Hanya timbul perasaan putus asa tidak gembira. Rasa menyesal pun ada. Mahu berhenti saja. Apatah lagi dengan anak-anak kecil pula.
Kemudian ALLAH berikan ilham tanpa diduga. Menjadi bahan 'eksperimen' di saat ALLAH berikan pelbagai ujian yang tiba.
Dari situ langkah kembali disusun diatur. Salah satunya menjadikan 'D-Days' sebagai kayu ukur.
Alhamdulillah dengan status sebagai pelajar yang tiada cuti belajar, komitmen kerja sebagai pensyarah dan memegang jawatan, anak-anak kecil yang perlukan perhatian, dunia penulisan yang masih setia, terjebak pula di dalam dunia business detik permulaan cinta baharu dan pelbagai perkara silih berganti tiba.
Alhamdulillah, timbul rasa syukur, asbab menjadi bahan 'eksperimen' Dr Roket yang pada mulanya tanpa sengaja, rupanya ALLAH mahu berikan ilmu baharu pula!
Alhamdulillah dengan komitmen yang begitu banyak, dapat juga selesai pengajian PhD dalam 4 semester malah dapat jimat 1 semester. ALLAH.. Terima kasih ya ALLAH!
Terima kasih tidak terhingga buat ayah Mat Ishak Awang Mustafa mak, abah mak, suami Mohd Khairul Nizam & anak-anak yang banyak sangat jasa, ahli keluarga dan sahabat rakan guru-guru para pensyarah yang banyak membantu dan mendoakan. Kejayaan ini kerana doa kalian. Semoga ALLAH merahmati mu dunia dan akhirat.
Berkongsi kegembiraan bersama keluarga. (FOTO FB DR MARDIANA)
Sahabat Rakan sekalian, ingat satu kata-kata keramat ini;
#1) Mungkin asbab 'Big Why'/'Push Factor' untuk kita sambung Master PhD & buat sampai habis adalah...
“Nak... Mak teringin nak tengok anak mak naik pentas konvokesyen PhD”.. (Baca macam ayat iklan telekung Siti Khadijah) Hehe...
#2) Selamat Maju Jaya! Tahniah buat sahabat rakan yang menjadi graduan tahun ini! Yang belum, insya-ALLAH bakal menyusul.
#3) Sahaja nasihat saya, pastikan masuk pintu dengan Persediaan & Kesediaan, keluar pintu dengan Kejayaan.
#4) Ujian, Dugaan, Cabaran PASTI ADA! Saya ulang sekali lagi, PASTI ADA!
Cumanya berbeza situasi. ALLAH tahu itu yang terbaik buat kita. Usaha cari jalan keluar (exit door), bukan berdiam diri berbulan bertahun lamanya.
#5) Tapi sebenarnya kalau nak bandingkan antara Nikmat vs Ujian, Nikmat & Rahmat ALLAH itu jaaauh lagi luas sebenarnya. Hanya sebab mata hati kita yang buta, tidak melihatnya sebagai Nikmat & Rahmat!. Ampuni kami ya ALLAH..
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. An Nahl: 18).
JANJI Allah setiap Kesusahan PASTI dipakejkan sekali Kemudahan. (Surah Al-Insyirah 94:5-6)
Salam Hormat,
Mardiana Bt Mat Ishak