Berita

Berita

INHART UIAM terima anugerah penyelidikan halal

INHART UIAM terima anugerah penyelidikan halal

Tarikh : 11 October 2020

Dilaporkan Oleh : Danial Yusof

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR – Institut Antarabangsa Penyelidikan dan Latihan Halal (INHART) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima Anugerah Kecemerlangan Pembangunan dan Penyelidikan Halal 2020.

Anugerah itu diadakan dalam majlis World Halal Night & Halal Excellence Award 2020 yang berlangsung di Ibu Negara baru-baru ini.

Majlis anugerah tersebut dianjurkan oleh Halal Development Corporation (HDC) bagi mengiktiraf penggiat-penggiat didalam industri halal tempatan dalam pelbagai bidang seperti penyajian makanan, barangan pengguna, pembangunan dan penyelidikan halal, ubat-ubatan serta penyedia perkhidmatan logistik.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Datuk Lim Ban Hong manakala Prof. Dr. Azura Bt. Amid menerima anugerah tersebut bagi pihak INHART UIAM.

INHART dipilih sebagai penerima anugerah adalah kerana pencapaian serta inovasi dalam bidang pembangunan dan penyelidikan halal yang banyak memberikan impak kepada komuniti dan industri halal didalam dan diluar negara.

Pada masa yang sama INHART menjadi pelopor pembangunan dan penyelidikan halal yang bertaraf antarabangsa.

Sebanyak 12 anugerah diberikan kepada pelbagai sektor dalam perusahaan kecil dan sederhana; logistik, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan diri, francais, dapur pusat, penyelidikan dan pembangunan, jenama terkemuka, makanan dan minuman serta perniagaan antarabangsa.

Antara penerima anugerah bagi kategori yang di berikan seperti QSR Brands (M) Holdings Bhd (Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal), Yotsuba Milk Products Co Ltd yang berpangkalan di Jepun (Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal).

Menurut Dr. Azura ketika ditemui beliau berkata, anugerah ini sedikit sebanyak memberi penghargaan kepada UIAM dan seterusnya pengiktirafan kepada INHART kerana menjadi universiti yang pertama menerima anugerah sedemikian di Malaysia.

”INHART menjalankan banyak projek penyelidikan halal dalam bidang sains, teknologi dan sains sosial. Inilah kelebihan INHART sebagai pusat kecemerlangan dalam pelbagai disiplin di mana kami mempunyai tenaga pakar dalam pelbagai bidang berbanding institusi yang lain.

”Kami juga telah menghasilkan dan membangunkan pelbagai produk inovasi yang berkaitan dengan Halal dan ada antaranya yang telah pun dikomersilkan iaitu Pengangkut Mikro Halal, Bromelain, Keju Krim Brome Halal, Fucoxanthin dan Hidung Elektrik untuk Pengesanan Lemak Babi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Source: https://malaysiagazette.com/20...