Berita
Kerajaan pertimbang selesai isu pelarian Rohingya melalui ICC
Tarikh : 28 March 2019
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
GOMBAK: Kerajaan mempertimbang untuk membawa isu genosid ke atas golongan Rohingya melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa atau International Criminal Court (ICC), selain melihat alternatif lain.
Jelas Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah pada Selasa, walaupun kerajaan menekankan kepentingan untuk menegak keadilan bagi orang Rohingya, namun langkah diplomatik akan diambil oleh agar hubungan dua hala bersama Myanmar tidak terkesan.
Antara objektif yang disasarkan adalah untuk membantu menyelesaikan isu kerakyatan bagi golongan Rohingya.
“Isu kerakyatan ini tidak semua negara bawa membincang, namun Malaysia melihat ini sebagai satu isu yang amat penting,” jelas beliau mengenai golongan Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai salah satu 'kaum kebangsaan' di Myanmar, lalu tidak mendapat kerakyatan di negara itu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus menerima pelarian Rohingya yang mencari perlindungan, namun turut komited untuk mencari penyelesaian yang harus bermula di Myanmar.
Ketika disoal jawab oleh wartawan di sidang media, beliau berkata: “Kita sudah ada lebih 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia."
“Kita tidak pernah menghalang siapa-siapa (yang ingin memasuki negara kita). Namun, ia tidak akan berhenti sehingga masalah di Myanmar diselesaikan,” jelas beliau.
Tambah Saifuddin: “Masalahnya bukan kerana kita tidak menerima mereka, sebaliknya ia adalah mengenai orang Rohingya yang menjadi mangsa dan terpaksa lari ke negara lain. Ia langsung tidak berperikemanusiaan.”
Selain menyelesaikan masalah secara jangka panjang, kerajaan turut beri bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya.
“Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta (ringgit) dalam bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya,” jawab beliau kepada wartawan di sidang media.
Pada 2017, satu hospital medan tajaan Malaysia ditubuhkan di Cox’s Bazar, Bangladesh dengan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan serta beberapa kumpulan masyarakat sivil.
Bagaimanapun, beliau tegas bahawa kerajaan tidak akan ‘berkira’ dalam perbelanjaan untuk membantu pelarian Rohingya kerana ia dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan.
Beliau berkata demikian di acara International Symposium on the Path to Justice for the Rohingyas: The International Criminal Court (ICC) & Other International Accountability Mechanisms di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak pada Selasa.
Source; http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-pertimbang-selesai-isu-pelarian-rohingya-melalui-icc-202219