Berita

Berita

Keusahawanan sosial rapat jurang pendapatan

Keusahawanan sosial rapat jurang pendapatan

Tarikh : 23 October 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

Penekanan khusus bidang keusahawanan sosial di Malaysia mampu menjadi instrumen penting bagi merapatkan jurang antara pendapatan isi rumah, pengagihan kekayaan dan isu sosial kumpulan berpendapatan rendah (B40). 

Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam, berkata ia bukan model perniagaan baharu, namun ia kaedah sedang berkembang yang mula diterima secara pesat di seluruh dunia.  

Beliau berkata, keusahawanan sosial memainkan peranan penting untuk membantu menyelesaikan masalah sosial, termasuk pengagihan peluang yang tidak

sama rata yang memberi kesan, terutama kepada golongan B40.  

Tak bergantung kepada kerajaan “Keusahawanan sosial mampu mengubah landskap ekonomi,  sekali gus merapatkan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin serta penduduk bandar dan luar bandar.

 “Tanpa perlu bergantung kepada kerajaan, individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk melaksanakan projek yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat seperti kumpulan B40.  

“Dalam hal ini, apa yang penting adalah mereka yang ingin berusaha membantu serta membangunkan masyarakat dan bukan mengenai kepentingan peribadi sahaja,” katanya pada Forum Keusahawanan Sosial Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan WIEF di Kuala Lumpur, semalam.  

Forum yang disertai 37 pakar dari 11 negara itu memfokuskan dialog dalam sektor keusahawanan sosial dan kesannya terhadap ekonomi dunia semasa, di samping mengukuhkan jaringan antara industri dan universiti. 

Yang turut  hadir sama, Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Isarji Sarudin dan Pengarah AKEPT, Prof Datuk Dr Rohana Yusof. 

Musa berkata, apabila sesebuah organisasi melaksanakan keusahawanan sosial, sebahagian keuntungan yang diperoleh mereka akan terus disalurkan kepada masyarakat.

Katanya, usaha itu adalah menerusi pelbagai kaedah seperti pendidikan, perkongsian pengetahuan dan kemahiran, sekali gus menjana peluang pekerjaan yang lebih banyak. 

“Akhirnya, ia adalah konsep menyeluruh dari segenap aspek yang berupaya menghubungkan perniagaan ke tujuan yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Berdasarkan tinjauan dalam talian yang dikendalikan Yayasan Thomson Reuters pada 2016, Malaysia menduduki tempat kesembilan sebagai lokasi terbaik bagi usahawan sosial, tidak jauh dari United Kingdom dan Kanada. 

Malah, menurut laporan Keadaan Isi Rumah 2018, “Realiti Berbeza” oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menunjukkan, masih terdapat jurang dari segi pendapatan dan pekerjaan yang perlu diatasi di negara ini.