Berita

Berita

Malaysia komited kekang terrorisme, radikalisasi

Malaysia komited kekang terrorisme, radikalisasi

Tarikh : 14 March 2022

Dilaporkan Oleh : ISTAC Web

Kategori : News


Share
MOHD Daud (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Brian McFeeters. FOTO Fathil Asri.

Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia terus komited untuk memastikan keganasan ekstremis dan radikalisasi dapat dikawal dengan memberi pengetahuan yang tepat kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, kewujudan portal mycveguide.com bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat didedahkan dengan impak keganasan terrorisme dan radikalisasi.

Menurutnya, Kementerian Luar Negeri menerusi Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) giat menganjurkan pelbagai program, syarahan, seminar untuk menyampai mesej mengenai impak keganasan terrorisme dan radikalisasi.

"Pusat ini juga memberikan fokus kepada generasi muda untuk menyampaikan kesedaran memandangkan golongan ini aktif dalam media sosial.

"Portal mycveguide.com adalah portal yang memberikan maklumat lanjut berkaitan pencegahan dan menentang keganasan ekstremis di Malaysia, rantau ini dan global secara keseluruhan.

"Ia juga akan memainkan peranan sebagai panduan kepada penggubal dasar, penyelidik, pengamal, pelajar dan orang awam untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan ektremis dan radikalisasi.

"Kerjasama portal web itu dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) juga membolehkan pengamal media melaporkan atau menulis secara bertanggungjawab mengenai keganasan ekstremis," katanya dalam Majlis Pelancaran Portal Mycveguide.com di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di sini, hari ini.

Teks ucapan Kamaruddin dibacakan Ketua Pengarah SEARCCT Datuk Ganeson Sivagurunathan.

Turut hadir Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D Mcfeeters; Presiden UIA, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya.

Portal ini dibangunkan antara lain untuk menjadi platform bagi orang ramai mendapatkan terminologi tepat selain menyediakan fakta rujukan pelbagai pihak berkaitan keganasan terrorisme.

Dalam pada itu, Dr Mohd Daud berkata, UIA berbesar hati kerana diberikan peluang untuk bekerjasama membangunkan portal mycveguide.com.

Katanya, UIA juga sering menganjurkan pelbagai program dan seminar berkaitan keganasan ektremis bagi menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat.

"Diharap dengan adanya portal ini, masyarakat dapat meneliti maklumat dengan lebih menyeluruh dan memastikan ia sahih," katanya.

Disiarkan pada: Mac 4, 2022 @ 1:59pm