Berita
OKU cemerlang mahu ikuti jurusan Kejuruteraan Mekatronik
Tarikh : 24 March 2019
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
Pelajar orang kurang upaya (OKU) yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, mahu mengikuti jurusan Kejuruteraan Mekatronik bagi membuktikan kecacatan fizikal bukan kekangan untuknya berjaya.
Muhammad Rizdwan Roslan, 18, yang kudung tangan kiri separas siku muncul pelajar terbaik SPM 2018 di sekolahnya dengan memperoleh 9A 1B.
Berikutan itu, laluannya untuk bergelar mahasiswa dalam jurusan kejuruteraan semakin cerah, namun dia masih belum membuat keputusan untuk memilih universiti mana bagi melanjutkan pengajian.
Muhammad Rizdwan yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 berkata, dia belum mengisi permohonan UPUonline namun berkemungkinan
memilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pilihan pertama.
“Saya juga sudah mendapat tawaran dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dalam jurusan yang sama tetapi belum mempertimbangkan lagi mengenainya.
“Saya memilih UIAM kerana di universiti itu tiada syarat untuk calon OKU jadi mungkin ada fasiliti untuk penuntut yang mengalami masalah sama seperti saya,” katanya ditemui di sini, semalam .